Rakyat perlu maklumat sahih, Town Hall medium tepat salur fakta – Wan Rosdy

KUANTAN - Rakyat perlu menerima maklumat yang benar dan berasaskan fakta dalam menghadapi dunia media sosial yang sarat dengan persepsi, sentimen dan fitnah, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, atas sebab itu kerajaan negeri sentiasa membuka ruang untuk bersemuka dengan rakyat bagi menjelaskan hala tuju pembangunan negeri menerusi program Town Hall.
“Kita tidak mahu rakyat Negeri Pahang ini mendapat maklumat ataupun berita yang tidak sahih kerana ini akan menggugat keharmonian sesama kita.
“Kita tidak mahu adanya politik sempit di negeri ini dan amalan demokrasi itu diamalkan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Town Hall Pahang 1st Lecture Series di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang di sini, pada Khamis.
Wan Rosdy turut memberitahu bahawa pembangkang juga diharap menegur kerajaan dan memberikan cadangan membina, bukan memainkan persepsi serta sentimen yang boleh menyebabkan rakyat rasa tidak senang dengan kerajaan.
Tegasnya, rakyat perlu mengetahui apa yang telah dilakukan kerajaan supaya mereka dapat membuat pilihan yang tepat apabila tiba masanya.
“Harus kita tepis perkara ini... sebab itu kita memang buat yang terbaik dan rakyat perlu tahu supaya nanti, bila sampai masa mereka untuk memilih kembali kerajaan.
“Ini kerana mereka dapat menilai prestasi yang telah dibuat dan membuat keputusan tidak berasaskan persepsi, sentimen, isu ataupun fitnah,” jelasnya.
Mengulas mengenai program Town Hall, Wan Rosdy berkata, ia memberi peluang kepada rakyat untuk bertanya soalan secara langsung dan mendapatkan penjelasan tepat daripada kerajaan, berbeza dengan media sosial yang kadangkala kesahihannya boleh dipertikaikan.
“Program ini berterusan dan kita akan lebarkan lagi – bukan sahaja saya, malah rakan-rakan dalam barisan kerajaan dan pemimpin tertinggi juga akan terlibat.
“Ini adalah saluran terbaik untuk rakyat bersemuka, bertanya dan mendapatkan maklumat daripada sumber utama,” katanya.
Beliau berkata, sambutan terhadap program Town Hall yang diadakan di beberapa lokasi sebelum ini menunjukkan minat rakyat untuk mengetahui hala tuju dan prestasi kerajaan negeri.
“Tiga sesi Town Hall yang saya sendiri terlibat secara langsung iaitu di Shah Alam, tiga hari lalu di Dewan Datuk Abdul Manan, dan hari ini di sini.
“Sambutannya sangat menggalakkan dan saya dapat melihat melalui bahasa badan audien serta pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan.
“Ini jelas membuktikan bahawa mereka ingin tahu kedudukan yang sebenar, dan kita memberi peluang supaya mereka nampak dengan jelas hala tuju kerajaan negeri.
“Saya menyatakan secara terbuka kerana negara kita adalah negara demokrasi. Kalau kerajaan tersebut telah melaksanakan tugasnya, rakyat harus terima dan beri sokongan yang berterusan. Tetapi kalau kerajaan itu gagal, kita boleh tukar – namun prestasi harus menjadi ukuran,” tegasnya.
Pada Selasa, Sinar Harian turut mengadakan Town Hall Rakyat yang dihadiri 1,000 orang, membuktikan minat rakyat untuk mengetahui perkembangan semasa dalam pelbagai aspek di negeri ini.
Ringkasan AI
- Rakyat perlu menerima maklumat yang benar dan berasaskan fakta dalam menghadapi dunia media sosial yang sarat dengan persepsi dan fitnah
- Kerajaan negeri Pahang membuka ruang bersemuka dengan rakyat melalui program Town Hall untuk menjelaskan hala tuju pembangunan negeri
- Pembangkang diharap memberikan cadangan membina dan menegur kerajaan
- Program Town Hall memberi peluang kepada rakyat bertanya soalan secara langsung untuk mendapatkan penjelasan tepat dari kerajaan
- Sambutan terhadap program Town Hall menunjukkan minat rakyat terhadap hala tuju dan prestasi kerajaan negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

