Pahang tumpu pelaburan, peluang pekerjaan – Wan Rosdy

PUTRAJAYA – [KEMAS KINI] Pahang terus menumpukan usaha menarik pelabur ke negeri itu khususnya di East Pahang bagi memperkukuhkan ekonomi dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri berusaha memudahkan pelabur yang ingin melabur dengan memastikan infrastruktur tersedia, walaupun ada sebahagian projek masih dalam perancangan atau dijalankan secara berperingkat.
“Infrastruktur kita buat yang terbaik tapi masih belum sepenuhnya (kerana) ada berperingkat, ada telah siap dan ada dalam perancangan.
"Ia suatu proses yang tiada penghujung, kita buat mengikut keperluan (termasuk) masalah air," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Visonary De' Tea Logue anjuran YP Advanced Skills di sini pada Isnin.
Menurut beliau, usaha itu membuahkan hasil dengan peningkatan pelaburan daripada 2018 hingga kini sebanyak RM13 bilion, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pahang sebanyak 5.7 peratus melebihi paras nasional 5.1 peratus.
"Peningkatan pelaburan ini turut menampakkan impak positif terhadap pasaran buruh negeri, di mana kadar pengangguran menurun daripada 2.2 peratus (17,000 orang) pada 2024 kepada 1.8 peratus (14,000 orang) setakat ini," jelas Wan Rosdy.
Pada April lalu, Wan Rosdy dilaporkan berkata, Pahang bersedia untuk menjadi pintu kepada Gerbang Pelaburan ke Rantau Timur dan menjadi lokasi tumpuan pelabur dari seluruh dunia.
Katanya, Pahang bersedia untuk menggantikan Singapura sebagai Pusat Sehenti Industri dan Perkhidmatan berikutan pelabur boleh terus mengimport dan mengeksport ke negara seperti China, Jepun dan Amerika Syarikat tanpa melalui Selat Melaka.
Dalam pada itu, mengulas mengenai banjir beliau berkata, Pahang sudah bersiap sedia berdepan dengan bencana itu malah berharap dapat mengekalkan rekod sifar kemalangan jiwa.
"Walaupun ada banjir, tidak ada kemalangan jiwa pada musim Monsun Timur Laut yang lalu.
"Jadi pada tahun ini kita berharap dan berdoa supaya tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini," katanya.
Terdahulu Wan Rosdy menyampaikan Anugerah Ikon Terbaik Program Jaminan Kerjaya kepada 15 individu di bawah ikon Yayasan Pahang YP Advanced Skills.
Majlis itu turut menghimpunkan 500 alumni, rakan industri, dan pemimpin negeri dalam usaha memperkukuh jaringan strategik serta memacu pembangunan modal insan di Pahang.
Seramai 8,053 orang pelatih telah menyertai Program Jaminan Kerjaya dan 7,650 orang pelatih telah berjaya di tempatkan dalam Industri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

