Operasi pencarian MH370 disambung hujung bulan ini

PUTRAJAYA – Operasi pencarian dasar laut pesawat Malaysia Airlines MH370 akan disambung semula pada 30 Disember ini selepas kerajaan memuktamadkan persetujuan dengan syarikat Ocean Infinity untuk meneruskan misi dasar laut di kawasan Lautan Hindi Selatan.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan syarikat berpusat di Amerika Syarikat itu akan menjalankan pencarian selama 55 hari secara berperingkat, meliputi zon dikenal pasti mempunyai potensi tertinggi untuk mengesan bangkai pesawat.
"Ocean Infinity telah mengesahkan kepada Kerajaan Malaysia bahawa ia akan memulakan semula operasi pencarian dasar laut selama 55 hari, yang akan dilaksanakan secara berselang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar kementerian itu, perkembangan tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha memberikan penamat dan kelegaan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tragedi ini.
Dalam kenyataan media pada Rabu, kementerian menjelaskan usaha berkenaan adalah kesinambungan perjanjian perkhidmatan yang ditandatangani antara kerajaan dan Ocean Infinity pada 25 Mac lalu.
Misi pencarian terbaharu ini digambarkan sebagai langkah penting untuk menamatkan penantian keluarga mangsa, selepas tragedi kehilangan pesawat itu pada 2014 menjadi antara insiden penerbangan paling misteri dalam sejarah.
MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Ringkasan AI
- Operasi pencarian dasar laut pesawat Malaysia Airlines MH370 akan disambung semula pada 30 Disember
- Syarikat Ocean Infinity dari Amerika Syarikat akan menjalankan pencarian selama 55 hari secara berperingkat
- Pencarian ini melibatkan zon dengan potensi tertinggi untuk mengesan bangkai pesawat
- Kerajaan Malaysia menunjukkan komitmennya dalam memberikan penamat kepada keluarga mangsa tragedi MH370
- Pesawat MH370 hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

