Pesawat Southwest Airlines terpaksa menjunam mendadak, dua kru cedera

Southwest Airlines menjelaskan dua amaran diterima daripada TCAS, memaksa juruterbang membuat pendakian dan penurunan pantas. Gambar hiasan
Southwest Airlines menjelaskan dua amaran diterima daripada TCAS, memaksa juruterbang membuat pendakian dan penurunan pantas. Gambar hiasan
A
A
A

WASHINGTON – Dua kru kabin cedera manakala penumpang panik apabila pesawat Southwest Airlines terpaksa menjunam secara mendadak selepas berlepas dari Burbank, California pada Jumaat, bagi mengelak kemungkinan perlanggaran dengan sebuah pesawat lain.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), insiden membabitkan Penerbangan Southwest 1496 itu berlaku ketika pesawat berada di ruang kawalan trafik udara Los Angeles.

“Pesawat bertindak balas terhadap amaran dalaman bahawa terdapat sebuah lagi pesawat berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Southwest Airlines menjelaskan dua amaran diterima daripada sistem pengelakan perlanggaran trafik (TCAS), memaksa juruterbang membuat pendakian dan penurunan pantas.

Sumber industri penerbangan memaklumkan kru pesawat pada mulanya diarahkan naik ke ketinggian 15,000 kaki, namun ketika mencapai 12,000 kaki, pengawal trafik udara mengubah arahan supaya mengekalkan ketinggian 14,000 kaki.

Tidak lama selepas itu, kru menerima arahan berpusing lebih 60 darjah sebelum sistem TCAS memberi amaran untuk mendaki dan kemudian menjunam.

Menurut rekod FAA, pesawat lain yang terlibat dikenal pasti sebagai jet pejuang Hawker Hunter MK 58 yang berdaftar di Delaware.

Seorang penumpang, Jimmy Dore berkata, pesawat 'menjunam secara agresif' sehingga ramai tercampak dari tempat duduk dan terhantuk ke siling.

Seorang lagi penumpang, Steve Ulasewicz memberitahu NBC Los Angeles bahawa pesawat mengalami penurunan ketara selama kira-kira dua saat sebelum menjunam selama lapan hingga 10 saat.

Artikel Berkaitan:

“Orang menjerit, suasana kelam-kabut, ramai sangka pesawat akan terhempas,” ujarnya.

Pesawat itu bagaimanapun berjaya meneruskan penerbangan tanpa insiden lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!