FELCRA Berhad terima dividen RM28.1 juta

KUALA LUMPUR – FELCRA Berhad terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila menerima dividen berjumlah RM28.1 juta daripada 13 anak syarikat dan syarikat bersekutu, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangannya bagi tahun semasa.
Dividen itu disampaikan pada Majlis Penyampaian Dividen Subsidiari dan Syarikat Bersekutu FELCRA Berhad yang berlangsung pada Selasa disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Ahmad Zahid, pencapaian tersebut menggambarkan prestasi kewangan FELCRA yang semakin kukuh hasil pelaksanaan strategi pengurusan yang berkesan di semua peringkat.
Jelas beliau, prestasi berterusan itu turut membuktikan usaha FELCRA dalam memperkasa agenda pembangunan luar bandar dan memacu pertumbuhan ekonomi peserta, sekali gus memastikan nilai mampan dapat dikongsi bersama semua pemegang taruh.
“Saya yakin Kumpulan FELCRA Berhad, khususnya anak-anak syarikatnya, mampu terus membina kejayaan lebih besar pada masa depan,” ujarnya menerusi satu kenyatan selepas menyempurnakan majlis berkenaan pada Selasa.
Beliau berkata, bagi memastikan kesinambungan pertumbuhan jangka panjang dan memperkukuh daya saing, FELCRA Berhad diminta mengemukakan Pelan Strategik Perniagaan 2026–2036 pada suku pertama tahun 2026 sebagai hala tuju korporat untuk dekad akan datang.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyaksikan penyerahan replika cek keuntungan daripada Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Idris Lasim, kepada Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob, sebagai simbolik kejayaan keseluruhan kumpulan.
Turut diadakan ialah penyampaian replika cek dividen daripada 13 anak syarikat dan syarikat bersekutu FELCRA, menandakan sumbangan kukuh entiti berkenaan terhadap pengukuhan kedudukan kewangan FELCRA secara keseluruhan.
Ahmad Zahid menegaskan keyakinannya bahawa FELCRA akan terus menjadi kebanggaan masyarakat desa sebagai institusi yang melaksanakan amanah sosial dengan integriti, selain menjadi pemacu kemakmuran korporat yang berdaya saing dan berimpak tinggi.
Ringkasan AI
- FELCRA Berhad menerima dividen RM28.1 juta dari 13 anak syarikat dan syarikat bersekutu
- Majlis Penyampaian Dividen dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
- Pencapaian dividen mengukuhkan kedudukan kewangan FELCRA dan memperlihatkan prestasi kewangan yang kukuh
- Ahmad Zahid meminta FELCRA mengemukakan Pelan Strategik Perniagaan 2026–2036 bagi pertumbuhan jangka panjang
- Penerimaan dividen tersebut adalah simbol kejayaan keseluruhan dan pengukuhan kedudukan kewangan FELCRA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

