Projek bangunan komersial didakwa tidak ikut garis panduan pembangunan

GEORGE TOWN - Penduduk Taman Bukit Jambul di Jalan Kampung Relau, di sini menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil tindakan segera menyelesaikan isu pembinaan deretan bangunan komersial berhampiran rumah mereka yang didakwa tidak mematuhi garis panduan pembangunan.
Mereka mendakwa pembinaan bangunan komersial itu akan mengancam keselamatan dan ketenteraman penduduk apabila lorong perumahan yang sebelum ini merupakan jalan mati yang dikatakan bakal dijadikan laluan utama.
Malah penduduk bimbang kawasan perumahan mereka akan menjadi sibuk terutama digunakan kenderaan berat setiap hari selain berisiko berlaku pelbagai masalah hingga menjejaskan kualiti hidup lebih 100 penduduk di situ.
Penduduk, Sofia Mohd Mohideen, 40, berkata, rumahnya paling terkesan apabila pembinaan banguanan projek berkenaan bercantum terus dengan kediamannya yang jelas tidak mengikut spesifikasi dan garis panduan pembinaan.
Beliau yang tinggal di perumahan itu sejak 18 tahun lalu mempersoalkan kelulusan projek berkenaan dan kesal walaupun sudah banyak aduan telah dibuat sejak 2022 namun tidak menghasilkan sebarang tindakan.
Menurutnya, kawasan perumahan dan komersial sepatutnya ada jarak pemisah namun dilepas pandang oleh pihak berwajib.
"Kawasan perumahan dan bangunan komersial sepatutnya ada jarak pemisah sekurang-kurangnya enam meter namun ia tidak dilakukan bagi projek ini.
"Apa yang mengecewakan walaupun aduan telah dibuat berkali-kali malah wakil rakyat pernah turun sendiri di sini melihat apa yang berlaku namun masalah ini tidak ada kesudahan," katanya ketika ditemui pemberita, pada Selasa.
Seorang lagi penduduk, Muhammed Arafath A Jamal Muhammed, 42, bimbang keselamatan keluarga apabila lorong sempit itu dijadikan laluan keluar masuk utama yang berpotensi menyebabkan kesesakan dan risiko kemalangan.
Jelasnya, selama ini penghujung di lorong rumahnya merupakan jalan mati tapi kini difahamkan pemaju mahu jadikan ia laluan keluar masuk utama.
"Kalau itu berlaku, trafik akan jadi sesak, lebih-lebih lagi orang ramai akan gunakan kawasan kami sebagai tempat parkir kerana berhampiran dengan kompleks beli-belah.
"Bila jadi laluan utama, kenderaan akan bawa laju, macam mana dengan keselamatan penduduk terutamanya anak-anak kami.. Kalau pelan asal lorong ini jalan mati, kenapa pemaju sekarang boleh dapat akses untuk buka laluan yang mengganggu keselamatan kami?"soalnya.
Seorang lagi penduduk, Datuk Mohamad Naina Merican Abdul Kadir, 75, berkata, pembukaan laluan tersebut akan mengubah keadaan kawasan perumahan yang telah dihuni hampir dua dekad selain meningkatkan risiko jenayah dan masalah sosial.
"Kami dah sekian lama hidup dengan tenang di sini, bila naik sahaja projek ini macam-macam masalah akan timbul," katanya.
Terdahulu, penduduk bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil parti politik mengadakan bantahan, menuntut MBPP mengeluarkan Perintah Henti Kerja (Stop-Work Order) dan menjalankan siasatan penuh terhadap pematuhan pelan pembangunan serta aspek keselamatan projek itu.
Mereka menggesa agar pihak berkuasa tempatan itu mengambil langkah bagi menjaga integriti perancangan bandar dan hak komuniti setempat.
Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan maklum balas MBPP berkenaan isu ini.
Ringkasan AI
- Penduduk Taman Bukit Jambul di George Town gesa MBPP atasi isu pembinaan bangunan komersial
- Bangunan berhampiran rumah dianggap akan mengancam keselamatan dan ketenteraman penduduk
- Pembinaan bangunan tidak mematuhi jarak pemisah antara kawasan perumahan dan komersial sepatutnya
- Penduduk bimbang kesesakan jalan dan risiko kemalangan bertambah dengan pembukaan laluan baru
- Bantahan telah diadakan bersama NGO dan wakil parti politik menuntut henti kerja dan siasatan penuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

