Pulau Pinang tidak boleh dijadikan Wilayah Khas Kedah - Exco

Laporan Sinar Harian pada Ahad mengenai Pulau Pinang hak milik asal Kedah, bukan entiti berdaulat berdiri sendiri - Profesor Sejarah Sosial
Laporan Sinar Harian pada Ahad mengenai Pulau Pinang hak milik asal Kedah, bukan entiti berdaulat berdiri sendiri - Profesor Sejarah Sosial
A
A
A

GEORGE TOWN – Cadangan menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Khas Kedah seperti model Hong Kong di bawah China tindakan yang mencabar struktur asas pembentukan Persekutuan Malaysia.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, hubungan antara Pulau Pinang dan Kedah telah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dipertikaikan.

"Kenyataan tersebut telah mencabar struktur asas pembentukan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan Pengarah Pusat Kajian Ketamadunan Melayu Islam ISTAC IIUM, Profesor Datuk Ahmad Murad Merican ketika forum ‘Merungkai Polemik Persejarahan Malaysia: Antara Fakta dan Tafsiran’ di Universiti Kebangsaan Malaysia, minggu lalu.

Menurut Wong, perkara tersebut telah diselesaikan melalui Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan 1957, yang mengiktiraf Kedah dan Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia bersama negeri-negeri lain.

“Ini adalah struktur asas Persekutuan Malaysia.

"Perlembagaan Persekutuan merupakan batu asas kenegaraan kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan cadangan Ahmad Murad itu sebagai seiring dengan nada yang sering dibawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali gus menunjukkan kegagalan memahami asas pembentukan Malaysia moden.

“Kedua-dua kenyataan mereka jelas gagal menghayati pembentukan Persekutuan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat dalam Malaysia tidak boleh dipertikaikan atas apa jua alasan," tegasnya.

Terdahulu, Murad mencadangkan agar Pulau Pinang dijadikan sebagai Wilayah Khas Kedah dengan mengekalkan struktur institusi, ekonomi dan politik, namun diletakkan di bawah pentadbiran negeri itu.

Beliau berkata, cadangan itu menyerupai model Hong Kong sebagai wilayah pentadbiran khas di bawah China yang mengekalkan autonomi tertentu tetapi tetap berada dalam kerangka pemerintahan Pusat.

Cadangan tersebut dikemukakan sebagai respons polemik mengenai kedudukan status Pulau Pinang yang pernah menjadi sebahagian wilayah Kedah sebelum 1786.

Selain itu, Ahmad Murad turut mencadangkan agar Pulau Pinang dijadikan sebahagian daripada negeri di bawah Wilayah Persekutuan atau memasukkan lima daerah Pulau Pinang ke dalam daerah Kedah.

 

 

Ringkasan AI

  • Cadangan menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Khas Kedah menimbulkan kontroversi kerana dicabar sebagai melanggar struktur asas Persekutuan Malaysia
  • Hubungan antara Pulau Pinang dan Kedah telah jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
  • Perkara ini telah diselesaikan dengan pengiktirafan Kedah dan Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia sejak 1957
  • Cadangan tersebut dianggap tidak memahami pembentukan Malaysia moden
  • Ini merupakan respons polemik mengenai status Pulau Pinang yang pernah menjadi sebahagian dari Kedah sebelum tahun 1786

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!