85 Smartboard diagih untuk perkasa pendidikan digital anak-anak Pulau Pinang

Mohamad (tengah) bergambar bersama wakil penerima smartboard yang disumbangkan melalui Wakalah Zakat Etiqa Takaful Berhad dengan kerjasama Yayasan Sahabat Bina Negara bagi memperkasa ekosistem pendidikan digital.
Mohamad (tengah) bergambar bersama wakil penerima smartboard yang disumbangkan melalui Wakalah Zakat Etiqa Takaful Berhad dengan kerjasama Yayasan Sahabat Bina Negara bagi memperkasa ekosistem pendidikan digital.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Sebanyak 85 unit smartboard bernilai RM748,000 diagihkan kepada sekolah-sekolah di Pulau Pinang melalui Wakalah Zakat Etiqa Takaful Berhad dengan kerjasama Yayasan Sahabat Bina Negara bagi memperkasa ekosistem pendidikan digital.

Timbalan Ketua Menteri I, Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, inisiatif tersebut selaras dengan Teras Pembangunan Pendidikan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) dan Visi Penang 2030 bagi memastikan pendidikan digital diperluas secara tersusun dan berstrategi.

Menurutnya, kecekapan pengurusan zakat perlu dilaksanakan secara profesional dan beramanah agar manfaatnya memberi impak jangka panjang kepada asnaf termasuk melalui pendekatan agihan zakat produktif.

Mohamad ketika berucap pada Majlis Serahan Sumbangan Smartboard di Dewan Perda Space and Sport Arena, di sini pada Selasa.
Mohamad ketika berucap pada Majlis Serahan Sumbangan Smartboard di Dewan Perda Space and Sport Arena, di sini pada Selasa.

"Tatakelola pengurusan zakat, kecekapan agihan zakat termasuklah mesti diurus secara profesional, berlandaskan amanah dan disalurkan melalui agihan yang memberi impak jangka panjang kepada asnaf.

'Justeru, pendekatan agihan zakat secara produktif semakin diberi penekanan iaitu bagaimana bantuan zakat hari ini menjadi nilai tambah kepada asnaf melalui kemahiran, kebolehupayaan dan daya saing asnaf agar mereka mampu berdiri atas kaki sendiri," katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Serahan Sumbangan Smartboard di Dewan Perda Space and Sport Arena, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Marzuki Hassan; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Yusoff Shaari; Pegawai Khas Perdana Menteri di Pulau Pinang, Zainal Abidin Saad; Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sahabat Bina Negara, Azman Mat Isa,

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, agihan zakat tidak terhad dalam bentuk wang tunai semata-mata.

Katanya, di Pulau Pinang, pihaknya memperluaskan bentuk bantuan dengan menyediakan latihan kemahiran dan inisiatif keusahawanan kepada asnaf agar dapat mengubah kehidupan mereka dengan matlamat jangka masa panjang mereka kembali membayar zakat di negeri ini.

"Selain asnaf fakir miskin, terdapat lapan kategori asnaf termasuk asnaf fisabilillah, satu kategori luas yang merangkumi pendidikan, kebajikan dan pembangunan modal insan.

"Antara usaha signifikan yang telah kita laksanakan di bawah kategori ini pada tahun ini ialah peningkatan bantuan pendidikan tinggi, bantuan 2500 cermin mata kepada pelajar sekolah dan pengagihan 8,740 unit tablet kepada 263 sekolah di Pulau Pinang dengan peruntukan RM6.5 juta," katanya lagi.

Sementara itu, Mohamad berkata, agihan smartboard melalui wakalah zakat ini merupakan lembaran baharu agihan zakat secara produktif di Pulau Pinang sebagai keperluan utama dalam pembelajaran digital masa kini.

Jelasnya, MAINPP akan terus bergerak mendekati pelbagai segmen masyarakat, termasuk rakan korporat, bagi meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab menunaikan zakat di negeri ini.

"85 unit smartboard ini melibatkan nilai keseluruhan RM748,000, dengan sumbangan RM607,200 disalurkan kepada 60 buah sekolah kebangsaan (SK), sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) melalui Jabatan Pendidikan Negeri, manakala RM140,800 diperuntukkan kepada 13 sekolah KAFA di bawah JHEAIPP.

"Dengan pelbagai program agihan berimpak tinggi yang telah kita laksanakan, saya berharap sasaran kutipan Zakat MAINPP sebanyak RM200 juta dapat dicapai pada tahun ini,"katanya lagi.

 

Ringkasan AI

  • Sebanyak 85 unit smartboard bernilai RM748,000 diagihkan kepada sekolah-sekolah di Pulau Pinang
  • Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha memperkasa ekosistem pendidikan digital mengikut Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 dan Visi Penang 2030
  • Agihan zakat dilaksanakan secara profesional dan beramanah untuk memberi manfaat jangka panjang kepada asnaf melalui pendekatan agihan zakat produktif
  • Selain bantuan kewangan, zakat di Pulau Pinang digunakan untuk menyediakan latihan kemahiran dan inisiatif keusahawanan bagi mengubah kehidupan asnaf
  • Agihan smartboard melalui wakalah zakat ini dianggap sebagai permulaan baru bagi agihan zakat produktif dalam pembelajaran digital di Pulau Pinang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!