Ismanira, Zaim Ikhwan ibu bapa yang bertanggungjawab - Datuk Zayn Rayyan

PETALING JAYA – Datuk kepada Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa, anak lelaki dan menantunya tidak terlibat dalam kes membunuh kanak-kanak autism itu, dua tahun lalu.
Zahari Mohd Reba, 57, berkata demikian ketika perbicaraan bela diri dihadapi menantu sulungnya, Ismanira Abdul Manaf yang berdepan atas satu kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Semasa pemeriksaan utama, Zahari yang juga pengurus produksi berkata, Zaim Ikhwan dan isterinya, Ismanira merupakan ibu bapa yang bertanggungjawab.
Saksi pembelaan kedua itu juga berkata, hubungan Zayn Rayyan dengan pasangan suami isteri itu sangat akrab biarpun berstatus orang kurang upaya.
“Ismanira dan Zaim Ikhwan sangat menyayangi Zayn Rayyan malah saya percaya mereka tiada kaitan langsung dengan dakwaan kes pengabaian ini.
“Zayn Rayyan merupakan cucu kesayangan saya, setiap hujung minggu jika anak menantu tidak bekerja, saya akan pastikan mereka datang rumah,” katanya ketika menjawab soalan peguam yang mewakili Ismanira, Haresh Mahadevan.
Disebabkan itu, berita mengenai kematian kanak-kanak itu pada 6 Disember 2023 amat mendukacitakan keluarganya.
Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, bapa kepada empat anak itu berkata, Ismanira memberi perhatian kepada Zayn Rayyan kerana dia merupakan kanak-kanak autism.
Pendakwaan: Tapi Zayn Rayyan ada adikkan?
Zahari: Ya.
Pendakwaan: Adakah perhatian terhadap Zayn Rayyan lebih daripada adiknya sendiri.
Zahari: Bagi saya sama sahaja.
Prosiding bersambung Khamis.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

