Malaysia #QuranHour momentum reset umat Islam

Penganjuran Malaysia #QuranHour dilihat sebagai ruang penting untuk umat Islam kembali mendekatkan diri dan menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian. Gambar kecil: Faizal
Penganjuran Malaysia #QuranHour dilihat sebagai ruang penting untuk umat Islam kembali mendekatkan diri dan menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian. Gambar kecil: Faizal
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penyampai radio Zayan, Mohd Faizal Ismail menyifatkan penganjuran Malaysia #QuranHour sebagai ruang penting untuk umat Islam kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian.

Menurut Faizal, 49, program berkenaan bukan sahaja berjaya menarik penyertaan masyarakat umum, malah memberi peluang untuk setiap individu melakukan reset dalam jadual harian mereka agar lebih dekat dengan kitab suci itu.

“Kita memang perlu berusaha untuk menghidupkan al-Quran terutama dalam kalangan anak-anak muda dan masyarakat keseluruhannya.

“Mungkin dalam masa sekarang ini kita terlalu sibuk dengan kerja dan komitmen lain sehingga secara tidak sedar makin jauh daripada al-Quran, walaupun kita tahu al-Quran itu sangat penting dalam hidup kita sebagai umat Islam.

“Tetapi Alhamdulillah, dengan adanya Malaysia Quran Hour dan World Quran Hour, sedikit sebanyak ia akan beri peluang untuk kita reset momentum, semak kembali jadual harian sama ada kita benar-benar memperuntukkan masa untuk al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah pengendali segmen FnN Pagi di Zayan FM itu, Malaysia #QuranHour memberi impak besar kerana melibatkan penyertaan jemaah yang lebih ramai serta mewujudkan suasana kolektif untuk mendekatkan diri dengan al-Quran.

“Program ini beri satu momentum yang besar sebab melibatkan orang ramai. Bila jemaah lebih besar, ia akan mendorong kita.

“Kalau kita boleh buat konsert, mengapa tidak kita peruntukkan masa setahun sekali untuk program seumpama ini,” ujarnya.

Menyentuh pengalamannya, Faizal atau mesra disapa dengan panggilan FBI memberitahu beliau pernah dijemput menyaksikan Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Ketika itu surah al-Insan menjadi pilihan. Saya hadir sebagai jemputan, bukan secara langsung, tetapi menyaksikan bagaimana al-Quran dibaca secara langsung di Masjid UIAM dan kemudiannya ditadabbur.

“Suasananya sangat seronok. Ada yang hadir sebab kawan ajak, ada yang datang kerana tugasan kerja, tetapi sebagaimana Nabi sebut, walaupun sekadar lalu atau mendengar, tetap ada pahala. Apatah lagi kalau kita berniat untuk menyertai dan menghayati tadabbur al-Quran,” jelasnya.

Mengulas mengenai cabaran untuk selebriti atau mereka yang sibuk dengan komitmen kerja, Faizal menegaskan soal masa bergantung kepada keutamaan diri.

“Masa itu kita yang pilih. Sama macam saya dulu, komitmen banyak sampai rasa tak sempat. Jadi, apa kata kita masukkan rutin al-Quran atau acara sebegini dalam jadual kita siap-siap.

“Kalau kita boleh lock job lebih awal, mengapa tidak kita lock sekali tarikh Malaysia Quran Hour ini supaya ia tidak diganggu acara lain,” katanya.

Beliau turut berharap penganjuran edisi ke-11 Malaysia #QuranHour tahun ini akan terus sukses dan dapat diperluas ke seluruh negara secara serentak.

“Zayan juga sentiasa memberikan sokongan kepada Malaysia Quran Hour,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!