Umat Islam perlu bina legasi berpandukan wahyu

KUALA LUMPUR - Umat Islam perlu bangkit membina legasi berpandukan wahyu, bergabung dalam satu saf dan menjadi hawariyyun pada zaman ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini kerana masyarakat Islam merupakan sebagai generasi pewaris dituntut membina kekuatan ummah dengan al-Quran sebagai panduan sebagaimana Hawariyyun membina tamadun bersama Nabi Isa AS.
"Kalian adalah legasi al-Quran zaman ini. Semoga usaha kita semua ini adalah jawapan kepada keresahan umat.
"Dalam Surah Al-Saff, ALLAH mengabadikan kisah Nabi Isa AS ketika Baginda merasai penolakan kaumnya. Mereka bukan sekadar pengikut tetapi sahabat perjuangan yang membina kekuatan jiwa dan masyarakat berpaksikan wahyu.
"Inilah legasi kesatuan yang dibina atas dasar iman, ketaatan dan iltizam kepada risalah," katanya dalam ucapan penutup Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia 1.0 di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan pada Selasa.
Ujar Mohd Na’im, konvensyen yang membawa Legasi Kesatuan Ummah berteraskan Surah al-Saff itu diharap dapat memberikan kesan yang besar bagi semua penggerak Rumah Ngaji dalam perjuangan mengajak masyarakat untuk terus berinteraksi dengan al-Quran.
"Perjuangan ini bukan tentang siapa lebih hebat. Ini tentang siapa yang paling istiqamah.
"Sejarah Islam telah membuktikan, kemenangan bukan milik yang kuat semata-mata, tetapi milik mereka yang berdiri teguh dalam saf perjuangan, sabar dan jujur dalam niat," ujarnya.
Menurutnya, Rumah Ngaji juga merupakan gerakan akar umbi yang digerakkan oleh rakyat dan diperjuangkan dengan keyakinan bahawa al-Quran adalah solusi kepada kerosakan jiwa serta keretakan hubungan sesama masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

