Jadilah suara berani tolak rasuah - SPRM

Nazri (tengah) merasmikan Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang di Tanjung Lumpur pada Selasa.
Nazri (tengah) merasmikan Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang di Tanjung Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN – Semua kepimpinan Kerajaan Pahang diminta memperkukuh integriti dalam pentadbiran bagi memastikan tadbir urus bersih, cekap dan bebas rasuah.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, integriti perlu dijadikan komponen wajib dalam semua dasar, projek dan keputusan pentadbiran.

“Kepada pegawai-pegawai di agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), laksanakan tugas dengan amanah, elakkan konflik kepentingan dan pastikan setiap tindakan mematuhi undang-undang serta garis panduan etika.

“Perkukuh sistem audit, kawalan dalaman dan urus tadbir untuk mencegah risiko rasuah. Jadilah suara yang berani menolak budaya rasuah serta membudayakan nilai integriti dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang di Tanjung Lumpur di sini pada Selasa.

Nazri (tengah) menyampaikan sijil kepada Pegawai Integriti Bertauliah pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang pada Selasa.
Nazri (tengah) menyampaikan sijil kepada Pegawai Integriti Bertauliah pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang pada Selasa.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.

Mohd Shukor memberitahu, Pahang adalah antara rakan strategik dalam usaha membanteras rasuah dengan pendekatan tadbir urus yang semakin diperkukuh di peringkat negeri.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, negeri itu menunjukkan komitmen tinggi dalam aspek tadbir urus khususnya melalui peluasan program pendidikan integriti di jabatan-jabatan negeri, pengukuhan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus, usaha menambah ketelusan dalam perolehan kerajaan serta sokongan berterusan kepada SPRM dalam aspek advokasi, pencegahan dan penguatkuasaan.

“SPRM Pahang menghargai kerjasama erat ini dan kami percaya Pahang mampu menjadi negeri peneraju dalam pelaksanaan NACS di peringkat subnasional,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjasama SPRM dengan agensi di Pahang, Mohd Shukor berkata, kejayaan integriti memerlukan penyelarasan kukuh antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor perniagaan dan industri, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan serta komuniti setempat.

Beliau menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh program outreach, sesi libat urus dan latihan integriti.

“Usaha advokasi juga akan dilakukan agar seluruh sektor di Pahang menjadi sebahagian daripada ekosistem pentadbiran yang bersih,” jelas beliau.

Sementara itu, Nazri berkata pegawai kerajaan dan GLC perlu sentiasa menjadikan integriti sebagai kompas yang membimbing tindakan mereka.

Menurutnya, sekiranya tiada integriti, pegawai mudah terdedah kepada amalan tidak sihat yang boleh merosakkan ekonomi, menghancurkan kepercayaan rakyat serta mencemarkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Tegasnya, mengamalkan integriti adalah cabaran besar pada zaman moden, namun ia tetap wajib menjadi pegangan utama dalam melaksanakan amanah.

“Tiga aspek penting dalam amalan integriti iaitu kepimpinan tertinggi yang menjadi teladan, kesediaan berubah daripada budaya lama kepada budaya kerja lebih telus serta latihan berterusan supaya setiap warga kerja memahami maksud sebenar integriti,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kepimpinan kerajaan Pahang diseru memperkukuh integriti dalam pentadbiran untuk memastikan tadbir urus bersih dan bebas rasuah
  • Integriti perlu menjadi komponen dalam semua dasar, projek dan keputusan pentadbiran
  • Pegawai kerajaan dan GLC perlu laksanakan tugas dengan amanah dan elakkan konflik kepentingan
  • Pahang dilihat sebagai rakan strategik dalam membanteras rasuah dengan pendekatan tadbir urus yang diperkukuh
  • Kerjasama erat dengan SPRM diperlukan untuk memerangi rasuah melalui program pendidikan integriti dan peningkatan ketelusan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!