LKAN: SPRM siasat kelemahan tadbir urus, salah laku agensi dan GLC

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti secara menyeluruh kelemahan tadbir urus dan potensi salah laku dalam agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.
SPRM menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menyambut baik pendedahan Ketua Audit Negara yang membabitkan pelbagai kelemahan pengurusan, pelanggaran prosedur kewangan dan kemungkinan unsur penyelewengan melibatkan dana awam.
"Siasatan terhadap laporan itu tidak hanya terhad kepada isu kelemahan tatakelola semata-mata, sebaliknya turut menjurus kepada sebarang penemuan yang mempunyai unsur kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694).
"SPRM akan melakukan penelitian secara menyeluruh terhadap laporan berkenaan termasuk mengambil tindakan susulan terhadap sebarang isu yang disyaki mempunyai unsur kesalahan jenayah," katanya dalam kenyataan itu.
Menurut SPRM, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara (JAN) bagi mendapatkan maklumat serta dokumen sokongan berkaitan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut yang perlu diambil dengan kadar segera.
"Pendekatan itu diambil bagi memastikan sebarang dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa atau kecuaian dalam pengurusan dana awam tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan undang-undang.
"Siasatan akan dijalankan secara bebas, telus dan profesional tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak, selaras dengan komitmen berterusan untuk menegakkan integriti dalam perkhidmatan awam," katanya.
Katanya, SPRM sentiasa komited dalam memastikan setiap dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah ditangani secara tegas serta telus.
"Ia demi memastikan tadbir urus negara berada pada tahap tertinggi seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam," katanya.
Terdahulu, dalam LKAN Siri 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, pelbagai penemuan audit dibangkitkan termasuk kelewatan pelaksanaan projek, kelemahan dalam pemantauan, bayaran tidak teratur dan pelanggaran garis panduan kewangan dalam beberapa kementerian, agensi serta GLC.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

