Cari ketenangan di Pasir Puteri

Hamparan batu kerikil yang luas di sepanjang tebing sungai menjadi lokasi pilihan pengunjung.
Hamparan batu kerikil yang luas di sepanjang tebing sungai menjadi lokasi pilihan pengunjung.
A
A
A

BAGI mereka yang ingin mencari ketenangan sambil menikmati keindahan alam semula jadi, kawasan rekreasi Pasir Puteri berhampiran Kampung Seberang Kuala Kenau, Kuantan boleh menjadi antara pilihan untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

Terletak di Sungai Lembing, pemandangan sungai yang berlatarbelakangkan bukit dan hutan hijau itu sekali gus mewujudkan suasana semula jadi yang menarik untuk dikunjungi.

Kawasan berkenaan dahulunya dikenali sebagai Pasir Kubor sebelum menggunakan nama Pasir Puteri seperti yang dikenali hari ini.

Keistimewaan Pasir Puteri terletak pada tebing sungainya yang luas dan landai dengan hamparan pasir serta batu kerikil semula jadi yang membentuk landskap tersendiri tanpa binaan konkrit di sepanjang tebing berkenaan.

Kawasan berkenaan dahulunya dikenali sebagai Pasir Kubor sebelum menggunakan nama Pasir Puteri.
Kawasan berkenaan dahulunya dikenali sebagai Pasir Kubor sebelum menggunakan nama Pasir Puteri.

Kawasan lapang dan berbatu itu sesuai untuk aktiviti berkelah termasuk bagi mereka yang mahu memasang khemah dan menikmati masa bersama keluarga atau rakan-rakan.

Selain berkelah, pengunjung juga boleh berehat di tebing sungai atau merendam kaki di kawasan air yang sesuai, bergantung pada keadaan arus dan cuaca semasa.

Tebing sungai yang luas, hamparan pasir dan batu kerikil serta latar belakang hutan hijau, Pasir Puteri menawarkan pengalaman rekreasi tersendiri kepada mereka yang ingin berehat jauh daripada kesibukan rutin harian.

Artikel Berkaitan:

Suasana di kawasan rekreasi Pasir Puteri, Sungai Lembing.
Suasana di kawasan rekreasi Pasir Puteri, Sungai Lembing.

Pengunjung dari Pekan, Zahiratul Akmal Zainol Abidin, 28, berkata, pemandangan sungai dan suasana tenang menjadi antara sebab dia berkunjung ke Pasir Puteri.

“Saya suka datang ke sini kerana pemandangan sungainya menarik dan suasananya tenang.

“Kami datang kali ini sekadar untuk duduk bersantai dan makan bersama rakan-rakan, bukannya untuk mandi-manda,” ujarnya.

Zahiratul Akmal (kiri) bersama rakannya berkelah di kawasan rekreasi itu kali kedua.
Zahiratul Akmal (kiri) bersama rakannya berkelah di kawasan rekreasi itu kali kedua.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung dari Pekan, Muhammad Musta'im Kamarul Azman, 27, berkata, kemudahan akses kenderaan menjadi antara kelebihan di Pasir Puteri terutama bagi mereka yang datang bersama keluarga atau rakan-rakan.

Menurut pekerja swasta itu, pengunjung boleh membawa barangan keperluan menggunakan kereta dan mengeluarkannya berhampiran kawasan perkelahan tanpa perlu mengangkat kelengkapan dalam jarak jauh.

“Tempat ini mudah diakses kerana kita boleh membawa barang dengan kereta dan mengeluarkannya berhampiran kawasan untuk berkelah atau bersantai.

“Kalau pergi ke air terjun lain, kadangkala kita perlu membawa barang agak jauh untuk sampai ke tempat yang sesuai.

"Di sini lebih mudah kerana kita boleh terus mengeluarkan barang dan menyediakan tempat untuk berehat,” kongsinya.

Muhammad Musta'im
Muhammad Musta'im

Muhammad Musta'im memberitahu akan kembali ke kawasan reakreasi ini bersama rakan-rakan pada masa akan datang dengan membawa kelengkapan lebih lengkap bagi menikmati suasana di kawasan itu.

Destinasi ekopelancongan

Bagi Noraini Hassan, 38, dari Maran, keindahan alam semula jadi yang ditawarkan Pasir Puteri menjadikan kawasan itu berpotensi untuk diketengahkan sebagai destinasi ekopelancongan.

Ujarnya, keindahan berkenaan perlu dipelihara dengan memastikan pengunjung tidak meninggalkan sampah selepas melakukan aktiviti riadah di situ.

“Pasir Puteri mempunyai potensi besar sebagai destinasi ekopelancongan. Jadi, semua pengunjung perlu bertanggungjawab membawa pulang sampah masing-masing demi memelihara keindahan alam ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!