Hanya 930.7 hektar tanah milik PKNPk diusahakan bagi tujuan pertanian

IPOH - Hanya kawasan seluas 930.7 hektar yang diusahakan dengan sektor pertanian daripada 7,142.9 hektar tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) di seluruh negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebahagian tanah berstatus syarat nyata pertanian itu telah mempunyai komitmen sewaan dan pajakan dengan pihak ketiga melibatkan kawasan seluas lebih kurang 544.4 hektar.
"Pada dasarnya PKNPk tidak menjalankan aktiviti pertanian sebagai fungsi teras. Namun demikian sebahagian daripada bank tanah PKNPk terdiri daripada tanah berstatus pertanian yang diperoleh melalui dasar pengambilan dan perancangan pembangunan negeri.
"Selaras dengan keperluan pengurusan aset yang berhemah, tanah-tanah ini perlu terus diuruskan secara aktif untuk mengelakkan kemerosotan nilai, pencerobohan, serta liabiliti penyelenggaraan yang tidak produktif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohamad Husairi Ariffin (PN-Kenering) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa.

Saarani menjelaskan daripada keseluruhan tanah milik PKNPk sebanyak 3,396.7 hektar berada di bawah inisiatif Strategic Land Value Proposition (SLVP).
Katanya, tanah-tanah tersebut terletak di lokasi yang berpotensi untuk pembangunan pelbagai sektor utama seperti pembangunan hartanah, industri berasaskan mineral, hospitaliti dan pelancongan, teknologi hijau, ekonomi digital serta pelabuhan dan logistik.
Dalam pada itu, bagi memastikan tanah-tanah tersebut kekal teratur, bernilai dan berimpak positif sementara menunggu pelaksanaan pembangunan strategik, PKNPk melaksanakan penyewaan jangka pendek sebagai instrumen pengurusan aset interim.
Jelasnya, pendekatan tersebut mengekalkan produktiviti minimum tanah tanpa menjejaskan fleksibiliti PKNPk untuk memulakan projek strategik yang dirancang di bawah Roadmap Transformasi dan aspirasi Perak Sejahtera 2030 apabila pembangunan dimuktamadkan.
Ringkasan AI
- Hanya 930.7 hektar tanah milik PKNPk diusahakan untuk pertanian dari 7,142.9 hektar keseluruhan
- Sebahagian tanah dengan syarat nyata pertanian sudah ada komitmen sewaan dan pajakan seluas 544.4 hektar
- Tanah pertanian PKNPk diperoleh melalui dasar pengambilan dan perencanaan pembangunan negeri
- Sebanyak 3,396.7 hektar tanah PKNPk berada di bawah inisiatif Strategic Land Value Proposition (SLVP) untuk pembangunan sektor utama
- PKNPk menggunakan penyewaan jangka pendek sebagai pengurusan aset sementara menunggu pembangunan strategik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

