Sektor pertanian penyumbang kedua ekonomi Kelantan

Mohd Nassuruddin (tiga dari kanan) melihat replika bendang padi yang dipamerkan di HPPNK. Foto SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Nassuruddin (tiga dari kanan) melihat replika bendang padi yang dipamerkan di HPPNK. Foto SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BACHOK - Sektor pertanian kekal sebagai penyumbang kedua terbesar kepada pertumbuhan ekonomi di Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, sumbangan sektor itu kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi 20 peratus, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai tunjang penting ekonomi negeri berkenaan.

“Sektor pertanian kekal sebagai penyumbang kedua ekonomi Kelantan selepas sektor perkhidmatan yang menyumbang lebih 69 peratus.

“KDNK agromakanan dan pengeluaran hasil pertanian negeri ini juga sentiasa meningkat dari semasa ke semasa,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) 2025 di Pantai Irama di sini pada Rabu.

Beliau berkata, usaha mengukuhkan sektor agromakanan semakin mendesak berikutan cabaran global seperti perubahan iklim, peperangan, dan sekatan eksport yang menjejaskan keterjaminan makanan.

“Bagi kami di Kelantan yang sudah lama bertekad menjadi jelapang makanan negara, wajar untuk sentiasa peka dan menggerakkan pelbagai inisiatif serta projek bagi menjana sumber, bekalan dan keterjaminan makanan.

“Antaranya, projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan ialah penanaman bawang di Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Bachok yang telah merekodkan tuaian pertama sebanyak 18.4 tan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin turut menekankan komitmen kerajaan negeri untuk menarik penglibatan generasi muda dalam sektor agro melalui agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata, inisiatif TVET pertanian itu bermula di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), yang melibatkan sekolah pondok serta tahfiz swasta.

Artikel Berkaitan:

“Pada awal Ogos lalu, seramai 103 pelajar berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dalam TVET Pertanian menerusi lima sekolah dan pondok perantis di Kelantan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan anugerah dan penghargaan kepada 19 penyumbang sektor pertanian negeri yang berjaya mencatat hasil serta jualan mencecah jutaan ringgit, merangkumi peladang durian serta usahawan produk perikanan dan kerepek.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!