9 laluan ditutup di Perak akibat tanah runtuh, banjir

Keadaan Jalan Ulu Licin di daerah Manjung yang ditutup akibat bencana. Foto FB JKR Daerah Manjung
Keadaan Jalan Ulu Licin di daerah Manjung yang ditutup akibat bencana. Foto FB JKR Daerah Manjung
A
A
A

IPOH – Sebanyak sembilan laluan utama di beberapa daerah di Perak terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan susulan kejadian tanah runtuh, banjir kilat serta pokok tumbang yang dilaporkan sejak beberapa hari lalu.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak sehingga jam 4 petang pada Khamis, penutupan berkenaan membabitkan daerah Perak Tengah, Manjung, Muallim dan Hilir Perak.

Menurutnya, di Perak Tengah dua laluan ditutup akibat bahu jalan runtuh membabitkan Jalan Gelung Pepuyu di Seksyen 11.6 sepanjang 60 meter dan Seksyen 5.1 meter sejauh 15 meter.

Runtuhan bahu jalan di Jalan Gelung Pepuyu menyebabkan laluan tersebut ditutup kepada kenderaan. Foto FB JKR Daerah Perak Tengah
Runtuhan bahu jalan di Jalan Gelung Pepuyu menyebabkan laluan tersebut ditutup kepada kenderaan. Foto FB JKR Daerah Perak Tengah

"Sementara itu, tiga laluan di Manjung turut ditutup kepada lalu lintas iaitu Jalan Pekan Pangkor-Pasir Bogak dan Jalan Ulu Licin ekoran jalan runtuh, Jalan Changkat Jering-Kampung Koh kerana ditenggelami air.

"Di Muallim, laluan FT1153 Jalan Felda Trolak Timur sepanjang 50 meter akibat jalan runtuh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Turut terjejas, tiga laluan di Hilir Perak iaitu Jalan Teluk Intan-Bidor dari simpang Ganda, Batu 7 hingga ke jalan masuk ke Tapak Pelupusan Sampah Majlis Perbandaran Teluk Intan, Jalan Kampung Selabak (berhampiran Selabak Corner) dan Jalan Kampung Padang Tembak yang ditutup akibat dinaiki air.

Susulan itu, JKR Perak meminta orang ramai merujuk laman Facebook agensi tersebut bagi mendapatkan maklumat mengenai beberapa laluan alternatif yang dicadangkan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Sembilan laluan utama di Perak ditutup akibat tanah runtuh dan banjir kilat
  • Daerah terjejas termasuk Perak Tengah, Manjung, Muallim dan Hilir Perak
  • Dua laluan di Perak Tengah ditutup kerana bahu jalan runtuh
  • Tiga laluan di Manjung ditutup akibat jalan runtuh dan banjir
  • JKR Perak meminta orang ramai merujuk laman Facebook untuk laluan alternatif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!