PRN Sabah petunjuk awal PRU16?

Undi kali ini adalah bentuk penghakiman senyap yang dibuat secara rasional dan berhati-hati. Foto hiasan
Undi kali ini adalah bentuk penghakiman senyap yang dibuat secara rasional dan berhati-hati. Foto hiasan
A
A
A

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu yang menyaksikan beberapa kejutan membawa makna jauh lebih besar.

Pada pandangan penulis, keputusan tersebut adalah cerminan perubahan mood politik yang lebih mendalam. Ia sebagai tindakan kolektif tegas daripada pengundi yang selama ini diketahui stabil sokongannya.

Mereka kini bersedia meninggalkan pilihan politik lama apabila prestasi pentadbiran tidak lagi memenuhi jangkaan atau keperluan semasa.

Dalam konteks ini, keputusan berantai itu menunjukkan keberanian pengundi menilai semula kesetiaan politik berdasarkan kemampuan pentadbiran memenuhi janji, bukan berdasarkan hubungan sejarah atau kecenderungan ideologi.

PRN kali ini jelas menunjukkan semakin banyak pengundi menilai sesebuah parti berdasarkan impak yang boleh dirasai keberkesanan dasar, maklum balas terhadap isu rakyat, serta konsistensi dalam melaksanakan komitmen.

Pengundi semakin menolak retorik panjang yang tidak diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Undi kali ini adalah bentuk penghakiman senyap yang dibuat secara rasional dan berhati-hati.

Selain itu wujudnya perubahan budaya politik yang signifikan dalam landskap Sabah. Negeri yang lazimnya ditafsirkan melalui lensa kepelbagaian etnik kini menunjukkan pola undi yang lebih matang dan kritikal.

Sabah membuktikan bahawa politik identiti smakin kehilangan cengkaman apabila prestasi tidak seiring dengan harapan rakyat. Arus undi ini sekali lagi menegaskan peralihan daripada politik potensi kepada politik prestasi.

Dalam penilaian penulis, konsistensi, ketangkasan bertindak dan kepekaan terhadap realiti rakyat menjadi faktor utama yang menentukan sokongan. Sebaliknya, parti yang dilihat selesa dengan kedudukan terdahulu dan gagal membaca denyut nadi rakyat menerima hukuman politik tanpa banyak ruang simpati.

Artikel Berkaitan:

Dari sudut nasional, keputusan di Sabah turut memberikan tempias besar kepada Pakatan Harapan (PH). Momentum reformasi yang pernah mengangkat gabungan itu kini semakin pudar.

Terdapat jurang persepsi ketara antara apa yang kerajaan percaya mereka sedang laksanakan dengan apa yang rakyat rasa sedang berlaku. Apabila jurang ini melebar, ia menimbulkan rasa tidak percaya, dan pengundi kemudian mencari saluran baharu untuk menyatakan ketidakpuasan melalui undi yang diperhalusi, bukan melalui protes terbuka.

Mana-mana parti yang gagal membaca keresahan rakyat atau terlalu lama berteduh dalam zon selesa se- gera menerima hukuman. Mesej yang dihantar amat jelas iaitu mandat tidak pernah bersifat kekal.

Penolakan pengundi terhadap DAP pada PRN kali ini tidak berpunca daripada isu identiti parti, tetapi krisis kepercayaan terhadap keupayaan memenuhi harapan.

Kekalahan di kesemua lapan kerusi mengisyaratkan krisis kepercayaan yang semakin meluas dan tidak boleh dipandang ringan. Pengundi hari ini tidak lagi sabar dengan alasan teknikal.

Mereka mahukan hasil yang jelas dan dapat dirasai. Walaupun PRN Sabah tidak mewakili gambaran keseluruhan nasional, penulis berpendapat keputusan ini cukup besar untuk menjadi petunjuk awal menjelang PRU16.

Mana-mana parti yang mentafsir keputusan tersebut secara sempit atau menyalahkan faktor demografi berisiko mengulangi kesilapan lalu yang pernah menenggelamkan gabungan besar.

Akhirnya, angin perubahan dari 'Bumi di Bawah Bayu' mengingatkan bahawa sokongan rakyat datang dengan syarat yang tegas iaitu keberkesanan, kejujuran dan kepekaan.

Pengundi progresif semakin matang dan semakin bersedia menukar haluan hanya dengan satu undi senyap. Undi itulah yang membentuk masa depan politik Malaysia.

*Zuraimee Zainal ialah Sub Editor Sinar Harian

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!