Penghantar makanan dan tiga lelaki dipenjara sebulan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seorang penghantar makanan termasuk tiga lelaki dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas tuduhan ingkar arahan dan berada dalam kawasan tempatan jangkitan tanpa alasan munasabah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan mulai 18 Mac lalu.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Faiz Aiwan Muhamad Saffei, 21; pencuci kereta, Mohd Ikhwan Zainudin, 30, P Prathabh, 32; B Sinniah, 37, dan Liew Kok Leong, 41, selepas kesemua mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap 23 Mac lepas.

Berdasarkan pertuduhan, mereka masing-masing didakwa sengaja berada di kawasan jangkitan tanpa sebarang alasan munasabah.

Kesemuanya dituduh mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang boleh dihukum mengikut Perkara 7 Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman berbentuk pengajaran supaya masyarakat tidak mengambil mudah tentang perintah kerajaan supaya duduk di rumah sepanjang tempoh PKP

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Muhammad Faiz Aiwan dihukum penjara dua bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan menghalang penjawat awam iaitu anggota polis ketika menjalankan tugas di kawasan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada 1.45 pagi, 23 Mac lalu.

Mahkamah memerintahkan bapa anak dua itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap 23 Mac lepas.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian tertuduh telah menaiki kereta dan kemudiannya ditahan polis bagi tujuan pemeriksaan semasa sekatan jalan raya.

Bagaimanapun, tertuduh kemudiannya telah merempuh palang tol, menyebabkannya hilang kawalan dan melanggar tembok pembahagi jalan.