Anjing peliharaan serang wanita, pemilik dipenjara sebulan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki melepaskan anjing peliharaan jenis Belgian Shepherd hingga menyebabkan seorang wanita parah mengundang padah apabila dia dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

N Trini Emmanuel Nettar, 53, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.

Mahkamah memerintahkan bapa kepada empat anak itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap iaitu pada 18 April lalu.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh melakukan kesalahan dengan mendatangkan bahaya atau musibah kepada seorang wanita berusia 35 tahun, dengan cara melepaskan haiwan iaitu seekor anjing hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.

Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah, Jalan Nangka, Off Jalan Kovil Hilir Perhentian di sini pada jam 7.30 petang, 16 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Trini Emmanuel yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan dia tidak bekerja serta menanggung keluarga.

"Saya memohon maaf kepada semua pihak atas kesalahan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Johar memohon kepada mahkamah agar menjatuhi hukuman penjara yang setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

"Tindakan tertuduh melepaskan anjing telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan," katanya.