Velesto Energy pupuk integriti sebagai DNA organisasi

Megat Zariman dan Nurhayati (tengah) ketika Cabaran Minggu Integriti Velesto Anergy 2025 pada Rabu.
Megat Zariman dan Nurhayati (tengah) ketika Cabaran Minggu Integriti Velesto Anergy 2025 pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Integriti bukan sekadar slogan tetapi perlu menjadi sebahagian daripada DNA organisasi iaitu dihayati, dijaga dan diamalkan walaupun tiada siapa melihat.

Presiden Velesto Energy Berhad (Velesto), Megat Zariman Abdul Rahim berkata, teknologi, kemajuan dan kejayaan tidak akan bermakna jika tidak dipandu oleh nilai yang betul.

"Membina budaya integriti memerlukan komitmen setiap hari, bukan hanya pada detik tertentu. Cabaran sebenar bukan pada perkara yang jelas salah, tetapi pada situasi yang samar di mana keputusan kecil boleh menentukan sama ada nilai dijunjung atau digadai.

Kebimbangan terbesar dalam mana-mana organisasi apabila salah laku menjadi normalisasi budaya. Apabila perbuatan salah dianggap biasa atau diterima, maka keseluruhan ekosistem akan terjejas.

"Sebab itulah Velesto mengambil pendekatan tegas, sistematik dan berterusan dalam memelihara integriti termasuk pelaksanaan pemeriksaan pendapatan dalaman yang memberi pemahaman jelas kepada semua pekerja mengenai kepentingan amanah," katanya ketika Hari Integriti 2025 Velesto 2025 pada Rabu.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi sebagai pengajaran buat generasi pekerja muda.

Ujarnya, 30 tahun lalu, ketika masih baru dalam industri, beliau pernah berdepan situasi di mana seorang klien meminta wang walaupun kontrak telah diberikan kepada syarikatnya.

Bagi beliau, pengalaman itu membuka mata betapa normalisasi integriti yang longgar boleh berlaku tanpa sedar.

"Lebih penting, saya bersyukur kerana mempunyai ketua yang berprinsip dan menegaskan bahawa amalan sebegitu tidak boleh diteruskan.

Artikel Berkaitan:

"Pengalaman itu menjadi asas untuk saya menegakkan nilai yang sama hari ini. Saya bersyukur kerana pekerja-pekerja muda hadir dan menunjukkan komitmen terhadap budaya berintegriti. Generasi yang baru harus lebih berani berkata tidak kepada rasuah, salah guna kuasa dan apa jua bentuk ketidakjujuran," kata beliau.

Dalam pada itu, tegasnya, usaha memerangi rasuah bukan kempen bermusim tetapi tanggungjawab berterusan.

Menurutnya, integriti yang kukuh bukan sahaja melindungi organisasi malah memastikan masa depannya terus stabil, bersih dan dihormati.

"Hari Integriti Velesto 2025 bukan sekadar acara, ia deklarasi bahawa kami memilih untuk membina kejayaan berdasarkan nilai, bukan helah; integriti, bukan kompromi; amanah, bukan kepentingan sempit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia - Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkongsi, bagi membentuk generasi masa depan yang bebas rasuah, pendidikan nilai mesti dimulakan dari sekolah rendah.

Ujarnya, nilai seperti beratur, sabar, menghormati hak orang lain dan tidak memotong giliran adalah asas kepada integriti.

"Jika nilai asas ini tidak dipupuk, ia akhirnya akan merebak dalam bentuk lebih besar seperti memintas prosedur, salah guna kuasa dan rasuah di alam pekerjaan.

"Melalui kerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi pendidikan, Rasuah Busters dan rakan strategik telah bertemu lebih 50,000 pelajar di seluruh negara untuk membawa mesej ini: integriti bermula dengan tindakan kecil setiap hari.

"Contoh mudah, membuang sampah di sungai. Ia kelihatan remeh, tetapi kesannya memudaratkan ekosistem, sumber makanan dan kesihatan manusia sendiri. Begitulah juga rasuah, ia bermula kecil, tetapi akhirnya merosakkan seluruh sistem," katanya.

Menurut Nurhayati, cabaran integriti sering tidak berlaku secara terang-terangan, tetapi dalam ruang kelabu yang memerlukan kebijaksanaan, keberanian dan prinsip.

Tegasnya, komitmen warga Velesto untuk menyertai sambutan hari integriti ini membuktikan syarikat bukan sahaja mengejar prestasi, tetapi membina budaya yang kukuh dan bermaruah.

"Selain cabaran moral, terdapat juga cabaran baharu iaitu teknogi dan kecerdasan buatan (AI). Algoritma boleh memanipulasi maklumat, mengelirukan pengguna dan menormalisasikan perkara salah tanpa disedari.

"Mata manusia boleh tertipu, apatah lagi jika algoritma sengaja direka untuk mempengaruhi minda. Justeru itu, integriti digital menjadi elemen penting dalam dunia moden bijak membezakan antara maklumat benar dan palsu," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Integriti perlu menjadi sebahagian daripada DNA organisasi dan diamalkan secara berterusan
  • Membina budaya integriti memerlukan komitmen setiap hari dan menghadapi cabaran dalam situasi samar
  • Normalisasi salah laku dalam mana-mana organisasi boleh mengganggu keseluruhan ekosistem
  • Velesto mengambil pendekatan tegas dan sistematik dalam memelihara integriti termasuk pemeriksaan pendapatan dalaman
  • Pendidikan nilai integriti harus dimulakan dari sekolah rendah sebagai asas untuk membentuk generasi bebas rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!