Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar adat, platform pupuk patriotisme

SHAH ALAM - Sambutan acara besar seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos tidak boleh dianggap sekadar adat semata-mata, sebaliknya dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, walaupun keperluan menyemai semangat cintakan negara tidak semestinya hadir dalam bentuk sambutan besar-besaran, namun pendekatan itu masih relevan sekiranya diselaraskan dengan isu semasa serta dimaknai secara mendalam.
“Benar perasaan patriotisme boleh disemai dengan pelbagai cara dan barangkali tidak semestinya melalui satu sambutan yang besar.
“Namun, kalau mahu pupuk sifat struktural daripada sekolah seperti kelab Rukun Negara, kelab wacana, kempen kesedaran sivik dan sebagainya, itu mungkin mengambil masa yang lama dan berisiko mencapai tempoh keletihan.
“Berbanding menggunakan acara besar seperti sambutan 31 Ogos yang dilakukan secara ‘ceremonial’, ia tidak ada salahnya, cuma perlu dilatari dengan isu besar semasa seperti yang berlaku ketika ini melibatkan kes buli yang membiak menjadi satu sentimen massa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar Edisi 481 bertajuk “Kerana Malaysia Milik Kita Bersama” yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Turut dijemput sebagai panelis ialah Pensyarah Kanan Universiti Antarabangsa INTI, Dr Sharmin Kutty Sivaraman; peguam dan pemerhati politik, Tai Zee How; manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator program.
Dalam pada itu, Mujibu berpandangan masyarakat di negara ini sudah memiliki asas pemahaman tentang cintakan negara, namun pendekatan menyampaikan semangat tersebut perlu ditambah baik agar tidak bersifat simbolik semata-mata.
Malah katanya, kewujudan dasar penting seperti Rukun Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Bahasa selepas tragedi 13 Mei membuktikan perpaduan sering dibina hasil respons terhadap cabaran besar.
“Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Institut Integriti Malaysia mengenai sentimen, 68 peratus rakyat melihat kesetiaan kepada negara penting, dan ini adalah hala tuju yang sepatutnya berbanding 22 peratus yang menyatakan ketaatan kepada kerajaan sedia ada menjadi sebahagian daripada patriotisme dan cintakan negara.
“Sekiranya dilihat perumpamaan ini, ia adalah bukti manifestasi bahawa rakyat ada pemahaman, namun perlu ada keperluan untuk mengubah orientasi sambutan agar ia lebih kemas dan tidak hanya bersifat ceremonial, supaya boleh ditanamkan dalam masyarakat.
“Justeru, semua pihak harus memainkan peranan bagi memastikan perpaduan tidak dilihat sebagai ritual semata-mata, sebaliknya menjadi struktur yang menambah baik hubungan harmoni kaum serta perpaduan nasional,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
