Polis perhalusi semula SOP serbuan premis spa songsang

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur sedang meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan serbuan premis spa songsang susulan beberapa kelemahan yang dikesan ketika proses siasatan dan tindakan lanjut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penelitian semula itu penting bagi memastikan setiap tindakan penguatkuasaan memberi impak positif dan tidak menjejaskan keberkesanan siasatan.
Beliau berkata, pelaksanaan operasi hingga membawa kepada tangkapan perlu melalui proses yang tersusun, namun beberapa hal teknikal dikenal pasti perlu ditambah baik agar bukti yang dikumpulkan tidak tercicir.
"Apabila pegawai penguat kuasa menjalankan operasi, kita mahu ia memberi kesan positif kepada masyarakat.
"Kita tidak mahu serbuan dan tangkapan dibuat, tetapi akhirnya ada bukti yang tidak dapat ditentukan mengakibatkan siasatan tidak dapat diteruskan," katanya ketika ditemui di Program Penyerahan Sumbangan Masih Ada Yang Sayang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Katanya, setiap kesalahan mempunyai intipati undang-undang yang mesti dipenuhi, tidak semudah menuduh mana-mana individu terlibat dalam perbuatan jenayah tanpa elemen lengkap.
"Setiap kesalahan ada 'ingredient', ada keperluan tertentu, tidak mudah untuk menuduh seseorang, termasuk dalam kesalahan meliwat atau aktiviti sosial negatif sebegini, " katanya.
Menurutnya, polis bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Agama kini memperkukuh kerjasama serta perkongsian maklumat risikan bagi memastikan premis berkenaan tidak kembali beroperasi.
"Ini antara perkara paling mustahak, kita bekerjasama rapat dengan PBT dan Jabatan Agama, berkongsi maklumat untuk kesejahteraan Kuala Lumpur," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua individu yang ditahan dalam operasi sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis, namun fokus utama kini tertumpu kepada dalang dan penganjur premis tersebut.
"Itu yang membimbangkan saya dan pasukan, terhadap penganjur inilah kita akan ambil tindakan secara all out," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 171 lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit baru-baru ini telah dibebaskan selepas permohonan reman ke atas kesemua individu terbabit ditolak oleh mahkamah.
Fadil berkata, permohonan reman itu ditolak berikutan kelewatan permohonan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Ujar beliau, permohonan reman ini lewat kerana ia melibatkan jumlah tangkapan yang ramai dan proses pengelasan perlu dilakukan satu persatu dan atas sebab itu, majistret telah menolaknya.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan yang dipercayai menjadi lokasi golongan lelaki songsang berkumpul dan melakukan aktiviti tidak bermoral, yang terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit pada Jumaat lalu.
Operasi bermula jam 8 malam itu dijalankan oleh Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hasil risikan selama dua minggu.
Ringkasan AI
- Polis Kuala Lumpur meneliti semula SOP berkaitan serbuan premis spa songsang
- Penelitian semula untuk memastikan tindakan penguatkuasaan berkesan dan positif pada masyarakat
- Operasi penguatkuasaan harus melalui proses tersusun dengan bukti yang tidak tercicir
- Polis memperkukuh kerjasama dengan PBT dan Jabatan Agama untuk menghalang operasi premis tersebut kembali
- Fokus utama polis kini adalah kepada dalang dan penganjur premis tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

