17 penjawat awam antara 201 lelaki dicekup di spa songsang

Pegawai penguat kuasa memeriksa salah seorang individu yang ditahan. Foto: Bernama
Pegawai penguat kuasa memeriksa salah seorang individu yang ditahan. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan yang disyaki menjadi lokasi lelaki songsang berkumpul serta melakukan aktiviti tidak bermoral terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit di sini pada Jumaat.

Operasi bermula jam 8 malam itu dijalankan oleh Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat)  Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) susulan risikan selama dua minggu. 

Tinjauan mendapati premis terbabit beroperasi di tingkat dua dan tiga sebuah bangunan rumah kedai. 

Tingkat bawah premis itu diubah suai sebagai gimnasium manakala tingkat atas dijadikan sauna dan jakuzi. 

Lebih mengejutkan, premis itu turut menyediakan bilik khas 'dark room' untuk pengunjung melampiaskan nafsu.  

Difahamkan, ahli pusat itu diminta untuk menanggalkan pakaian dan diberikan tuala berwarna putih sebelum dibenarkan naik ke tingkat atas. 

Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah sebuah pusat spa dan kesihatan. Foto Bernama
Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah sebuah pusat spa dan kesihatan. Foto Bernama

Malah ketika serbuan, beberapa pengunjung didapati sedang menikmati jakuzi dan sauna tanpa seurat benang sebelum menyedari kehadiran pihak berkuasa.  

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar berkata, hasil serbuan, seramai 201 individu ditahan termasuk tujuh pekerja premis. 

"Seramai 24 warga asing ditahan manakala selebihnya warga tempatan termasuk 17 penjawat awam berusia 19 hingga 60 tahun. 

“Kita turut merampas kondom dan beberapa barangan berkaitan aktiviti tidak bermoral,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi tersebut pada Jumaat.

Mohd Azani berkata, premis itu dipercayai beroperasi setiap hari sejak lapan bulan lalu dan disyaki mempromosikan aktivitinya melalui media sosial.

“Pusat itu mengenakan caj RM35 bagi setiap kemasukan, dengan tambahan RM10 sebagai yuran pendaftaran untuk ahli baharu,” ujarnya.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing dan siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Kegiatan tidak bermoral di sebuah pusat spa di Chow Kit terbongkar dalam serbuan
  • Operasi dilakukan susulan risikan selama dua minggu oleh IPK Kuala Lumpur dengan kerjasama DBKL dan Jawi
  • Premis ini menyediakan gimnasium, sauna, jakuzi dan 'dark room'
  • Seramai 201 individu termasuk 24 warga asing dan 17 penjawat awam ditahan
  • Premis dipercayai beroperasi sejak lapan bulan lalu dan mempromosikan aktiviti melalui media sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!