Pekerja kilang sesak nafas terhidu gas bertoksik

KEMAMAN - Sembilan pekerja kontrak sesak nafas selepas terdedah kepada gas bertoksik ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah kilang memproses makanan haiwan di kawasan Kerteh Biopolymer Park (KBP) di sini pada Ahad.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Rohaya Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.51 petang sebelum 18 pegawai dan anggota bomba termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Ketika kejadian mangsa berusia 23 hingga 40-an melakukan kerja-kerja pembersihan tangki continuous reacter di kilang berkenaan.
"Kesemua mangsa terdiri daripada pekerja tempatan dan seorang warga Bangladesh secara tiba-tiba mengalami gangguan pernafasan ekoran terhidu gas bertoksik dipercayai gas ammonia atau methyl mercaptan," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Beliau berkata, kesemua mangsa berjaya diselamatkan pekerja kilang dan dibawa ke Klinik Kesihatan Paka oleh pengurusan kilang untuk menerima rawatan.
"Enam daripada mangsa dirujuk ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan manakala tiga lagi mangsa telah dibenarkan pulang," katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba telah melakukan 'water suppression' bagi menurunkan bacaan gas bertoksik dan memastikan lokasi tersebut selamat.
"Operasi berkenaan ditamatkan kira-kira jam 1.05 pagi selepas bacaan kembali kembali normal dan tiada kehadiran gas dikesan di lokasi kejadian," katanya.
Ringkasan AI
- Sembilan pekerja kontrak sesak nafas kerana terdedah kepada gas bertoksik di kilang makanan haiwan di Kerteh Biopolymer Park
- Pekerja berumur 23 hingga 40-an melakukan kerja-kerja pembersihan tangki ketika terdedah kepada gas
- Mangsa terdiri daripada pekerja tempatan dan seorang warga Bangladesh mengalami gangguan pernafasan akibat gas ammonia atau methyl mercaptan
- Kesemua mangsa diselamatkan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Paka untuk rawatan, enam dirujuk ke Hospital Dungun
- Pasukan bomba melakukan 'water suppression' untuk mengurangkan bacaan gas bertoksik dan operasi tamat apabila keadaan kembali normal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
