Kerajaan kecuali SST makanan haiwan guna kacang soya mentah

SHAH ALAM - Bahan mentah dalam penghasilan makanan haiwan termasuk kacang soya dikecualikan daripada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan, langkah tersebut diambil bagi memastikan kestabilan harga barangan makanan asas seperti ayam, telur dan daging.
"Keputusan ini dibuat berdasarkan maklum balas industri bahawa kacang soya merupakan input utama dalam penghasilan makanan haiwan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini media melaporkan, Persatuan Pengimport Komoditi untuk Makanan Haiwan Malaysia (ACIAFM) menyeru kerajaan memberi pengecualian SST ke atas bahan mentah makanan ternakan tertentu bagi mengelak kesan rantaian kepada harga barang keperluan asas rakyat.
Presidennya, Chong Kam Weng berkata, pihaknya telah memaklumkan risiko kenaikan kos pengeluaran akibat cukai tersebut ketika pertemuan dengan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying pada Ogos lalu.
Menurutnya, ketika ini 30 peratus bahan mentah makanan haiwan seperti kacang soya, gandum pollard, hampas canola, dan campuran vitamin dikenakan SST lima peratus.
Dalam pada itu MoF memaklumkan, beberapa bahan mentah lain yang digunakan dalam formulasi makanan haiwan masih dalam penelitian, termasuk melalui sesi libat urus dan semakan teknikal bersama pihak berkepentingan.
Dalam masa sama menurutnya, kerajaan kekal komited memastikan dasar percukaian negara kekal adil, mampan dan menyokong daya saing sektor penternakan negara.
Ringkasan AI
- Bahan mentah dalam penghasilan makanan haiwan seperti kacang soya dikecualikan dari SST
- Langkah ini bertujuan memastikan kestabilan harga makanan asas seperti ayam, telur dan daging
- Keputusan berdasarkan maklum balas industri tentang kepentingan kacang soya sebagai input utama
- Persatuan Pengimport Komoditi untuk Makanan Haiwan Malaysia memaklumkan risiko kenaikan kos pengeluaran
- Kerajaan komited memastikan dasar percukaian yang adil dan menyokong daya saing sektor penternakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

