Pekerja kilang maut nahas dua kenderaan

Lokasi kemalangan di kilometer (KM) 29, Jalan Johor Bahru–Mersing pada awal pagi Selasa. - Foto IPD Kota Tinggi
Lokasi kemalangan di kilometer (KM) 29, Jalan Johor Bahru–Mersing pada awal pagi Selasa. - Foto IPD Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI – Seorang pekerja kilang maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di kilometer (KM) 29, Jalan Johor Bahru–Mersing pada awal pagi Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kemalangan tersebut pada jam 5.50 pagi yang melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Sentra dan sebuah motosikal Honda RSX.

"Hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Nissan Sentra yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 29 tahun telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal jenis Honda RSX yang ditunggang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun.

"Akibatnya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi sementara pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian muka.

"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat," katanya.

Tambah Yusof, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Katanya, pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.

"Pihak polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutamanya pada musim hujan kerana keadaan jalan licin boleh meningkatkan risiko kemalangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pekerja kilang maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Jalan Johor Bahru–Mersing
  • Kemalangan terjadi apabila kereta Nissan Sentra memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal Honda RSX
  • Penunggang motosikal berusia 43 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan
  • Polis nasihatkan pengguna jalan raya berhati-hati terutamanya pada musim hujan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!