Warga emas dibunuh guna cangkul

MANJUNG – Seorang lelaki warga emas ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di Kampung Koh dekat sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 78 tahun ditemui oleh ahli keluarga sebelum mereka segera membuat laporan di Balai Polis Kampung Koh.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat berkenaan pada jam 1.30 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dengan kecederaan parah pada bahagian kepala dan muka.
"Pemeriksaan di lokasi menemui sebatang cangkul yang mempunyai kesan darah dan dipercayai digunakan suspek untuk menyerang mangsa.
"Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, hasil laporan forensik mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan tumpul dan tajam yang serius pada bahagian kepala.
Menurut Hasbullah, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan motif kejadian masih dalam siasatan.
“Polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dan usaha pengumpulan bukti serta keterangan saksi sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
Katanya, mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837, Bilik Gerakan IPD Manjung di 05-688 6222 atau menerusi WhatsApp Hotline 017-682 8005.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga emas ditemui maut berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di Kampung Koh.
- Mangsa berusia 78 tahun
- Siasatan awal mendapati mangsa dijumpai terlentang dengan kecederaan parah pada kepala dan muka
- Sebatang cangkul dengan kesan darah ditemui dan dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa
- Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, motif masih dalam siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

