Bekalan kurang, harga sayur naik 55 peratus

KUANTAN – Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menjejaskan bekalan sayur daripada pekebun dan pembekal sekali gus mendorong kenaikan harga sekitar 55 peratus.
Tinjauan Sinar Harian di pasar tani di daerah ini mendapati sayuran asas seperti bendi, kacang panjang, terung, tomato, cili padi, sawi dan kangkung mencatatkan harga lebih tinggi berbanding minggu lalu.
Peniaga, Zainal Muhammad, 51, berkata, kenaikan harga sayur adalah perkara biasa setiap kali musim tengkujuh.
“Bila hujan, banyak kebun sayur dinaiki air dan terjejas, jadi itulah sebab harga naik sedikit.
“Setakat hari ini, macang dan bendi paling mahal iaitu sekitar RM9 sekilogram manakala kangkung serta sawi pula cecah RM7 sekilogram,” katanya ketika ditemui di pasar tani Kuantan pada Ahad.

Dia yang sudah 22 tahun berkecimpung dalam perniagaan itu menjelaskan, walaupun harga sayur naik, namun kebanyakan peniaga menyesuaikan saiz jualan supaya pelanggan masih mampu membeli.
“Saya jual dalam kuantiti kecil, contohnya 300 gram sayur setiap bungkus dengan harga RM2.50 hingga RM3.
“Cara ini buat pelanggan masih boleh beli dan kita pun masih dapat untung walaupun tak banyak,” katanya.
Senada dengan itu, Yusri Yaakob, 52, memberitahu semua jenis sayur mengalami kenaikan harga antara RM5 hingga RM8 sekilogram dan ia dijangka berlarutan sehingga penghujung tahun ini.
“Contohnya tomato naik daripada RM4 ke RM7 hingga RM8 sekilogram, manakala lada Vietnam daripada RM18 sekotak naik ke RM22,” jelasnya.

Menurut Yusri, pelanggan semakin berkurangan akibat musim hujan, namun jualan minggu ini sedikit lebih baik.
“Kalau cuaca cerah, sambutan memang menggalakkan, tapi kalau hujan, memang susah. Macam minggu lepas, hujan seharian, kita boleh kira orang masuk saja,” katanya.
Sementara itu, Muhaini Muhammad, 50, berkata, cabaran terbesar mereka ialah berdepan dengan bekalan yang tidak mencukupi.
“Kadang-kadang kita hanya dapat ambil stok sedikit kerana kebun dinaiki air dan sayur lambat matang.
“Keadaan ini memaksa kami mengehadkan kuantiti pembungkusan supaya lebih ramai pelanggan dapat membeli,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menjejaskan bekalan sayur menyebabkan kenaikan harga sehingga 55 peratus
- Sayuran asas seperti bendi, kacang panjang, terung, dan lain-lain mencatatkan harga lebih tinggi berbanding minggu lalu
- Peniaga menyesuaikan saiz jualan supaya pelanggan masih mampu membeli meskipun harga sayur naik
- Kenaikan harga sayur adalah perkara biasa setiap kali musim tengkujuh kerana banyak kebun sayur terjejas
- Pelanggan semakin berkurangan akibat musim hujan dan bekalan yang tidak mencukupi menyebabkan peniaga mengehadkan kuantiti pembungkusan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

