Banjir semakin pulih, NGO gerakkan misi pascabanjir

Zuraidi (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Perdana, Alor Setar.
Zuraidi (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Perdana, Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR – Keadaan banjir di Kedah menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun secara berperingkat sekali gus membuka ruang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melancarkan misi bantuan pascabanjir.

Setakat pagi Ahad, seramai 1,072 mangsa daripada 512 keluarga masih berlindung di 11 PPS sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu berbanding 1,817 mangsa daripada 533 keluarga yang direkodkan pada Sabtu malam.

Susulan itu, beberapa NGO tempatan mula digerakkan bersama sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa yang pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut.

Pengerusi Persatuan Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, antara gerak kerja yang diselaraskan adalah membersihkan rumah mangsa banjir selain menyalurkan keperluan asas seperti bakul makanan dan sokongan kewangan.

Menurutnya, keperluan pascabanjir seperti mencuci rumah dan membuang sisa lumpur merupakan antara cabaran utama yang membebankan mangsa selepas pulang ke kediaman masing-masing.

“Kita bukan sekadar beri bantuan makanan dan kewangan, tetapi turut bantu mereka bersihkan rumah. Ini sebenarnya yang paling memenatkan dan memerlukan sokongan ramai,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Perdana di sini.

Zuraidi berkata lagi, pihaknya akan menyelaraskan penglibatan NGO yang berminat untuk digabungkan bersama sukarelawan JKM mengikut kawasan masing-masing bagi memastikan kerja-kerja pembersihan berjalan lancar dan berkesan.

Beliau turut memuji komitmen JKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penghulu yang bertugas tanpa henti selama lebih lima hari dalam usaha menangani krisis banjir.

“Kehadiran NGO yang sentiasa aktif membantu masyarakat adalah langkah terbaik. Sebagai sukarelawan, kami akan sentiasa bersama agensi bertanggungjawab dalam meringankan beban mangsa banjir di Kedah dan negeri lain,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebanyak 5,000 bakul makanan telah disediakan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negeri, dengan lebih 1,000 daripadanya telah disampaikan kepada keluarga yang terjejas sepanjang tempoh bencana.

Ringkasan AI

  • Keadaan banjir di Kedah menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan penurunan jumlah mangsa di pusat pemindahan
  • Seramai 1,072 mangsa masih berada di pusat pemindahan berbanding 1,817 mangsa pada hari sebelumnya
  • NGO bersama sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat membantu mangsa banjir yang pulang ke rumah
  • Antara bantuan yang diberikan termasuk membersihkan rumah, menyediakan bakul makanan dan sokongan kewangan
  • Sebanyak 5,000 bakul makanan telah disediakan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!