6,222 rakyat Malaysia terkandas di Hatyai berjaya diselamatkan

Operasi khas dilaksanakan sejak 22 Disember lalu berjaya menyelamatkan kesemua rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, Thailand. Foto FB Kedutaan Malaysia di Bangkok.
Operasi khas dilaksanakan sejak 22 Disember lalu berjaya menyelamatkan kesemua rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, Thailand. Foto FB Kedutaan Malaysia di Bangkok.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri mengesahkan kesemua 6,222 rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir besar di Hatyai, Thailand telah berjaya diselamatkan.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan operasi evakuasi berjaya disempurnakan hasil usaha bersepadu yang melibatkan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, bersama lebih 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan sukarelawan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, baki 12 rakyat Malaysia yang masih terkandas berjaya dibawa pulang ke tanah air melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah pada hari terakhir operasi.

"Operasi evakuasi yang bermula pada 22 November dijalankan dalam keadaan yang amat mencabar, termasuk arus deras yang membahayakan, paras air yang tinggi, serta gangguan komunikasi dari semasa ke semasa.

"Walaupun berdepan pelbagai halangan, semua rakyat Malaysia yang terkandas termasuk mereka yang terperangkap di lebih 150 hotel dan penginapan kecil, berjaya dijejaki dan dibawa ke tempat selamat," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Wisma Putra turut merakam penghargaan kepada kerajaan Thailand atas bantuan, penyelarasan dan solidariti yang tidak ternilai sepanjang usaha menyelamat tersebut.

Tambah kenyataan itu, Malaysia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada NGO dan pasukan sukarelawan yang terlibat atas khidmat bakti dan dedikasi yang mencerminkan semangat keprihatinan dan kerjasama sejajar dengan nilai-nilai Malaysia Madani.

"Kementerian turut mengiktiraf sumbangan luar biasa daripada pasukan Truck Towing Perlis, Bas FTC Insurance – C3, Persatuan Sikhs Malaysia, TravelThai.My, Jetski serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sungai Petani; Sukun Bukit Mertajam, Padang Sera, Bukit Bendera, Alex Team, Kepong Selangor, Kepala Batas, Menglembu, Kahang Johor, Teluk Intan, Pekan Ipoh, Sri Serdang dan Bangi yang memainkan peranan penting dalam kejayaan operasi ini.

"Komitmen mereka terhadap khidmat kemanusiaan tidak akan dilupakan dan sumbangan mereka mencerminkan nilai-nilai perpaduan dan empati yang menjadi asas masyarakat negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, kementerian menasihatkan rakyat Malaysia yang mengembara ke kawasan berisiko banjir bermusim agar mendaftar keberadaan mereka dengan wakil diplomatik Malaysia yang terdekat.

"Ini bagi memastikan komunikasi dan bantuan dapat disalurkan dengan pantas sekiranya berlaku kecemasan, terutamanya dalam tempoh cuaca buruk di rantau ini.

"Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus memantau keadaan semasa dan memberikan bantuan kepada mana-mana rakyat Malaysia yang masih memerlukan sokongan," katanya.

Banjir yang melanda Thailand sejak seminggu lalu telah menenggelamkan 10 wilayah selatan termasuk Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat

Ringkasan AI

  • Kesemua 6,222 rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand telah diselamatkan
  • Operasi evakuasi melibatkan usaha bersama Kedutaan Besar Malaysia, Konsulat Jeneral Malaysia, NGO, dan sukarelawan
  • Operasi evakuasi yang mencabar berlangsung sejak 22 November meliputi arus deras, paras air tinggi, dan gangguan komunikasi
  • Wisma Putra mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Thailand, NGO, dan sukarelawan atas bantuan dan solidariti
  • Kementerian Luar Negeri menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan berisiko banjir untuk mendaftar dengan wakil diplomatik Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!