Lebih 500,000 pesakit asing jana hasil sektor pelancongan perubatan Pulau Pinang

Hon Wai pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.
Hon Wai pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN – Seramai 527,176 pesakit warga asing mendapatkan rawatan di Pulau Pinang sepanjang 2025 sekali gus menjana hasil sebanyak RM1.14 bilion menerusi sektor pelancongan perubatan negeri itu.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, prestasi berkenaan terus menunjukkan perkembangan positif apabila Pulau Pinang menerima kira-kira 285,400 pelancong perubatan bagi separuh pertama 2026 dengan hasil berjumlah RM601.8 juta berdasarkan data Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC).

"Kerajaan Pulau Pinang menerusi Penang Global Tourism (PGT) terus memperkukuh promosi sektor berkenaan melalui kerjasama strategik bersama MHTC, Penang Centre of Medical Tourism (PMED), Tourism Malaysia, hospital swasta dan syarikat penerbangan.

"Kerjasama itu bertujuan menghubungkan penawaran perkhidmatan perubatan di Pulau Pinang dengan promosi destinasi, akses penerbangan serta kemudahan kepada pesakit antarabangsa dan ahli keluarga mereka," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.

Hon Wai (DAP-Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan K Kumaran (DAP-Bagan Dalam) mengenai pencapaian PGT dalam mempromosikan pelancongan perubatan di Pulau Pinang serta usaha bagi meningkatkan jumlah pelancong perubatan serta hasil sektor tersebut.

Sementara itu, daripada aspek promosi, Hon Wai berkata, PGT membantu memperkenalkan pelancongan perubatan Pulau Pinang menerusi penganjuran jerayawara, sesi padanan perniagaan serta kandungan media dan digital.

"Promosi di luar negara turut merangkumi pasaran China, Indonesia, Singapura, Taiwan dan Myanmar bagi memperluaskan capaian serta menarik lebih ramai pesakit antarabangsa mendapatkan rawatan di negeri ini.

"Selain itu, PGT turut bekerjasama dengan MHTC dalam penganjuran lawatan familiarisasi media termasuk melibatkan media dari Myanmar dan Malaysia," ujarnya.

Sempena Malaysia Year of Medical Tourism 2026 (MYMT2026), beliau berkata, usaha tambahan turut memberi tumpuan kepada kerjasama pemasaran bersama syarikat penerbangan dan pengusaha perubatan.

Artikel Berkaitan:

"Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah Boarding Pass Privileges bersama AirAsia, yang menghubungkan perjalanan udara dengan tawaran daripada rakan industri perubatan. Pengukuhan jaringan penerbangan turut menjadi antara strategi menyokong pertumbuhan sektor berkenaan.

"Laluan baharu Batam-Pulau Pinang yang mula beroperasi pada 18 Oktober 2026 membuka akses kepada pasaran Kepulauan Riau sekali gus memudahkan perjalanan pesakit serta keluarga mereka ke negeri ini," katanya lagi.

Pada masa sama katanya, PGT turut meneroka pasaran baharu termasuk Qatar dan Kemboja bagi mempelbagaikan sumber pesakit antarabangsa.

"Bagi Qatar, hubungan dengan delegasi kedutaan dan wakil industri penerbangan membuka ruang untuk meneroka kerjasama dalam sektor penjagaan kesihatan serta akses perjalanan dari rantau Timur Tengah.

"Kemboja pula dikenal pasti sebagai pasaran ASEAN berpotensi untuk diteroka melalui jaringan bersama ejen pelancongan, rakan industri perubatan dan syarikat penerbangan," katanya.

Beliau menambah, usaha itu bertujuan mengenal pasti permintaan pasaran serta bentuk kerjasama bersesuaian sebelum promosi diperluaskan.

"PGT terus mengetengahkan keunikan makanan, budaya, warisan dan pilihan penginapan di Pulau Pinang bagi melengkapkan pengalaman pesakit serta pengiring sepanjang berada di negeri ini.

"Kerjasama antara hospital, hotel, agensi pelancongan dan penyedia pengangkutan turut membantu memudahkan perjalanan pesakit serta menggalakkan tempoh penginapan lebih panjang mengikut kesesuaian keadaan mereka," katanya.

Hon Wai berkata, pertumbuhan sektor pelancongan perubatan itu turut memberi limpahan manfaat kepada pengusaha penginapan, sektor hospitaliti dan perniagaan tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!