Cuaca baik bantu percepat banjir surut – MB Kedah

Muhammad Sanusi semasa melawat PPS SK Seri Perdana di Alor Setar pada Jumaat. Foto JKM Kedah
Muhammad Sanusi semasa melawat PPS SK Seri Perdana di Alor Setar pada Jumaat. Foto JKM Kedah
A
A
A

ALOR SETAR – Situasi banjir di beberapa kawasan di Kedah kini dilaporkan terkawal apabila paras air menunjukkan tanda-tanda surut susulan keadaan cuaca yang bertambah baik sejak Khamis.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hujan yang tidak terlalu lebat di kawasan hulu telah membantu mempercepatkan proses air surut, sekali gus memberi kelegaan kepada mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Tahun lepas, hujan turun serentak dengan air pasang besar, sebab itu air naik mendadak. Alhamdulillah, tahun ini tidak berlaku seperti itu.

" Kita harap cuaca kekal baik dalam sehari dua ini supaya air terus surut dan mangsa boleh pulang,” katanya ketika melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perdana di sini pada Jumaat.

Beliau turut memaklumkan bahawa koordinasi antara kerajaan negeri dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjalan lancar tanpa sebarang isu besar.

“Alhamdulillah, semua berjalan seperti biasa. Saya lihat JKM dan agensi lain bekerja keras, dan saya ucapkan terima kasih atas komitmen mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa bantuan khas untuk mangsa banjir masih belum dibincangkan atau dibawa ke dalam mesyuarat kerajaan negeri.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah berkata, seramai 4,056 mangsa banjir daripada 1,296 keluarga ditempatkan di 19 PPS di Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena setakat jam 4 petang pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Situasi banjir di Kedah terkawal dengan paras air yang surut susulan cuaca baik
  • Hujan tidak terlalu lebat di kawasan hulu membantu proses surut
  • Koordinasi antara kerajaan negeri dan agensi berjalan lancar
  • Bantuan khas untuk mangsa banjir masih belum dibincangkan
  • Seramai 4,056 mangsa banjir ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!