Aplikasi China petakan hotel didakwa ada pepijat katil

BEIJING – Satu aplikasi digital yang membolehkan pelancong menandakan lokasi hotel yang didakwa mempunyai masalah pepijat katil semakin mendapat perhatian di China.
Namun kemunculannya turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengusaha hotel berhubung risiko dakwaan tidak berasas yang boleh menjejaskan reputasi perniagaan mereka.
Aplikasi itu membolehkan pengguna menandakan hotel yang didakwa mempunyai pepijat katil pada peta digital, sekali gus menjadikan maklumat berkenaan boleh dilihat oleh semua pengguna platform berkenaan.
Menurut laporan South China Morning Post (SCMP) yang dipetik NDTV, sejak dilancarkan pada 21 September lalu, aplikasi itu berjaya menarik kira-kira 200,000 pengguna dan lebih 600 hotel di seluruh China telah ditandakan kerana didakwa mempunyai masalah berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa hotel mendakwa premis mereka disenaraikan secara tidak tepat, menurut laporan China Business News.
Pada peringkat awal, pengguna boleh membuat laporan mengenai hotel yang dipercayai mempunyai pepijat katil tanpa perlu mengemukakan gambar atau bukti sokongan lain.
Keadaan itu mencetuskan aduan daripada beberapa pengusaha hotel sehingga aplikasi berkenaan digantung sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu pada Oktober lalu.
Susulan bantahan tersebut, penciptanya yang hanya dikenali sebagai Wang memperkenalkan peraturan baharu yang mewajibkan pengguna mengemukakan bukti sebelum laporan dipaparkan pada peta.
Wang kini menyemak setiap laporan secara manual dan biasanya mendapatkan bantuan dua individu lain bagi memastikan serangga dalam gambar yang dikemukakan benar-benar pepijat katil.
Aplikasi itu turut menyediakan rajah panduan bagi membantu pengguna mengenal pasti jenis serangga lazim serta kesan gigitan yang ditinggalkannya.
Wang yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pembuatan membangunkan aplikasi itu walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pengaturcaraan sebelum mula menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menulis kod pada Julai lalu.
Idea menghasilkan platform berkenaan tercetus selepas beliau digigit serangga ketika berpindah rumah pada musim panas.
Menurut Wang, maklumat mengenai hotel yang mempunyai masalah pepijat katil sebelum ini berselerak di pelbagai sumber sehingga menyukarkan orang ramai mencari laporan berkaitan dan mengelakkan penginapan yang terjejas.
Justeru, beliau mahu menyediakan satu platform yang membolehkan orang ramai berkongsi maklumat berkenaan dengan lebih mudah.
Bagaimanapun, Wang mengakui aplikasi itu masih belum sempurna kerana dibangunkan seorang diri.
Beliau menyifatkan dirinya hanya individu yang memulakan projek berkenaan dan berharap orang ramai dapat membantu mengumpul serta menyemak maklumat yang dikongsikan.
Setakat ini, empat hotel sudah mengemukakan rayuan terhadap laporan yang dipaparkan dalam aplikasi itu dengan menyertakan dokumen sokongan seperti lesen perniagaan, gambar kerja-kerja pembasmian serangga dan rekod daripada organisasi pihak ketiga.
Seorang pengurus hotel mendakwa seorang pelanggan pernah menuntut bayaran balik sebanyak 3,000 yuan (kira-kira RM1,800) bagi penginapan empat malam selepas mendakwa digigit pepijat katil di premis berkenaan.
Pihak hotel kemudian mendapatkan khidmat syarikat kawalan serangga pihak ketiga untuk memeriksa bilik pelanggan terbabit serta 23 bilik lain yang dipilih secara rawak.
Hasil pemeriksaan mendapati tiada pepijat katil atau telurnya ditemukan di semua bilik berkenaan.
Pengurus itu berkata, pihak hotel kemudian mengemukakan laporan pemeriksaan dan rekod berkaitan menerusi ruangan rayuan dalam aplikasi berkenaan.
Rayuan tersebut diluluskan dan tanda yang mengaitkan hotel itu dengan masalah pepijat katil dipadamkan daripada peta.
Sementara itu, peguam firma guaman Beijing Jindu, Lin Feiran, berkata laporan dalam talian mengenai kewujudan pepijat katil di hotel berpotensi mencetuskan pertikaian berkaitan reputasi pengusaha premis penginapan.
Beliau mencadangkan proses semakan aplikasi itu dipertingkatkan bagi memastikan maklumat yang dikongsi mematuhi undang-undang.
Lin turut menyarankan supaya pengguna diminta menandatangani perjanjian yang mengesahkan laporan mereka adalah benar.
Selain itu, platform berkenaan disaran mendapatkan khidmat pakar yang berkelayakan untuk mengenal pasti jenis serangga dan mengesahkan sama ada ia benar-benar pepijat katil.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
