Calon datuk bandar ditentukan melalui lambungan duit syiling

PERU – Pertarungan merebut jawatan datuk bandar di sebuah daerah kecil di kawasan pergunungan Andes, Lima, berakhir dengan cara luar biasa apabila pemenangnya ditentukan menerusi lambungan duit syiling selepas dua calon memperoleh jumlah undi yang sama.
Rubén Quispe Capajaña daripada parti Somos Perú akhirnya dipilih sebagai datuk bandar daerah Conima selepas menewaskan pencabarnya, Salomino Mamani Quispe daripada parti País Para Todos, menerusi kaedah pemutus seri itu pada Rabu lalu.
Kedua-dua calon memperoleh tepat 671 undi dalam pilihan raya perbandaran yang berlangsung pada 4 Oktober lalu, sekali gus menyebabkan pihak berkuasa pilihan raya terpaksa menggunakan kaedah cabutan undi seperti diperuntukkan undang-undang Peru.
Conima terletak kira-kira 1,300 kilometer dari ibu negara, Lima, di wilayah Puno yang bersempadan dengan Bolivia.
Daerah kecil berhampiran Tasik Titicaca itu mempunyai kira-kira 3,500 penduduk dan terletak pada ketinggian 3,860 meter dari aras laut.
Menurut laporan Agensi Berita AFP, proses penentuan pemenang dilaksanakan dalam dua peringkat.
Pertama, cabutan nombor satu atau dua dilakukan bagi menentukan calon yang berhak memilih bahagian duit syiling terlebih dahulu.
Quispe memperoleh nombor satu dan memilih bahagian yang dikenali sebagai 'sello' pada duit syiling satu sol Peru, manakala Mamani mendapat bahagian bertentangan.
Seorang pegawai pihak berkuasa pilihan raya kemudian melambungkan duit syiling berkenaan ke udara.
Keputusan lambungan itu memihak kepada Quispe apabila duit syiling jatuh dengan bahagian pilihannya menghadap ke atas, sekali gus mengesahkan kemenangannya sebagai datuk bandar baharu Conima.
"Saya bangun pagi dengan keyakinan penuh bahawa saya akan menang kerana saya tahu saya mendapat sokongan yang baik. Ini kali pertama saya bertanding sebagai calon," katanya kepada stesen penyiaran RPP.
Beliau turut melahirkan rasa syukur atas keputusan berkenaan.
"Matlamat saya sejak awal adalah untuk menang. Kini semuanya sudah ditentukan oleh Tuhan. Kita akan bekerja untuk rakyat saya," katanya kepada media.
Undang-undang pilihan raya Peru menetapkan bahawa keputusan seri dalam pilihan raya boleh diselesaikan menerusi kaedah cabutan undi.
Calon yang bertanding boleh memilih kaedah lambungan duit syiling atau cabutan bola bagi menentukan pemenang.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak diterima sepenuhnya oleh Mamani yang sebelum ini memperoleh jumlah undi sama dengan pencabarnya.
Beliau dilaporkan tidak berpuas hati apabila nasib menerusi lambungan duit syiling menjadi penentu kepada jawatan yang dipertandingkan.
Mamani turut menyuarakan harapan supaya peraturan pilihan raya diubah bagi membolehkan pilihan raya pusingan kedua diadakan sekiranya berlaku keputusan seri, sekali gus memastikan pemenang ditentukan semula oleh pengundi dan bukan nasib.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
