Banjir di Hatyai: Pasukan sukarela tak lena tidur fikir nasib rakyat Malaysia terkandas

Beng Tat bersama pelajar Universiti Utara Malaysia yang terkandas di Hatyai sebelum dibawa pulang.
Beng Tat bersama pelajar Universiti Utara Malaysia yang terkandas di Hatyai sebelum dibawa pulang.
A
A
A

 

BUKIT KAYU HITAM - Semangat kesukarelawan tinggi sepanjang melaksanakan misi menyelamat membuatkan anggota sukarelawan tidak senang duduk memikirkan masih ramai rakyat Malaysia terkandas akibat banjir di Hatyai.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, Leong Beng Tat berkata, disebabkan itu, mereka merasakan tidak mampu untuk melelapkan mata apabila memikirkan risiko sedang dihadapi mangsa.

Beliau yang mengetuai misi menyelamat mangsa terkandas di bandar itu menjelaskan, biarpun letih dan kurang rehat namun apabila terdapat warga emas dan kanak-kanak masih menantikan bantuan, semangat ingin terus membantu berkobar-kobar.

 

 

"Sepanjang lima hari di Hatyai, saya hanya tidur atas tangga bangunan, memang tak lelap tidur memikirkan ada lagi mangsa yang perlu diselamatkan," katanya ketika ditemui sebaik tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam di sini pada Jumaat.

Kepulangan mereka disambut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang sebaik melepasi Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin (ICQS) di sempadan Malaysia-Thailand.

Jelas Beng Tat, misi menyelamat mangsa banjir di Hatyai dilakukan selama lima hari bermula Isnin membabitkan 19 PBS dari Kedah, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta dua pasukan sukarelawan iaitu Ihsan Johor Relief dan Blue Sky Resque Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Operasi tersebut bagaimanapun ditamatkan walaupun masih terdapat rakyat Malaysia di sana memandangkan kawasan bencana telah diisytiharkan bahaya oleh pihak tentera Thailand serta tidak dibenarkan masuk.

"Sedih memang sedih, saya takut rakyat Malaysia ada yang mati di sana dalam kejadian banjir ni sebab tu kami berusaha untuk membantu seberapa yang boleh walaupun sangat mencabar," katanya.

Beng Tat berkata, dalam misi menyelamat, mereka turut membantu rakyat negara lain yang terkandas ketika paras air semakin tinggi.

"Kami bantu semua tak kira-kira mana-mana pun... rakyat China, Arab Saudi, Amerika, siapa saja pun kami ambil sebab mereka tanya, boleh tumpang tak lori kami, saya cakap boleh tetapi hanya setakat Pekan Danok saja," jelasnya.

Menurutnya, antara cabaran yang tak dapat dilupakannya apabila bot milik mereka terbalik semasa operasi menyelamatkan mangsa iaitu kanak-kanak yang mengalami demam panas.

"Mujur semua anggota selamat, keesokan harinya baru kita cari laluan alternatif untuk selamatkan kanak-kanak itu," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, sepanjang lima hari misi menyelamat dilakukan, pasukan sukarelawan itu berjaya mengeluarkan kira-kira 1,500 rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai akibat banjir besar melanda bandar itu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!