MTL: Jambatan sementara hanyut, surau hampir terjunam Sungai Kelantan

KUALA KRAI - Jambatan sementara yang digunakan untuk kerja-kerja pembinaan jambatan baharu menghubungkan Pasir Kelang ke Pasir Era di sini dihanyutkan arus deras Sungai Kelantan akibat hujan lebat dua hari lalu.
Arus sungai berkedalaman 22.41 meter tersebut bahkan turut meruntuhkan tebing setinggi 20 meter hingga menyebabkan sebuah surau berdekatan yang digunakan oleh pemandu bot dan feri, senget serta hampir terjunam ke sungai.
Penduduk, Mohamad Danial Rosli, 23, berkata, jambatan besi sepanjang 100 meter terbabit kali kedua dihanyut arus selepas kejadian pertama pada musim tengkujuh November tahun lepas.

“Empat hari sebelum, kerja-kerja dah tak dijalankan kerana paras air meningkat.
“Arus deras sungai bawa balak dan dahan pokok patah merempuh jambatan hingga hanyut serta tinggal baki kira-kira 30 meter sahaja,” katanya ketika ditemui di jeti Pasir Era di sini pada Sabtu.

Menurutnya yang juga Pemandu feri Pasir Kelang, jambatan itu diguna pekerja pembinaan untuk membawa besi jambatan dan turut menjadi laluan jentera berat mereka.
“Penduduk tak lalu jambatan itu, sebaliknya mereka guna bot atau feri sementara jambatan baharu tersebut siap.

“Surau di tebing Pasir Kelang itu pula dah dalam keadaan bahaya, jadi kami tukar solat di surau seberang di jeti Pasir Era,” katanya.
Sementara itu, bagi warga emas, Rama Jayum Parasureaman, 73, yang sudah setengah abad mengusahakan kebun getah seluas lima ekar di kawasan Pasir Kelang mengharapkan, jambatan baharu terbabit dapat disiapkan bagi memudahkan laluan keluar masuk penduduk.

“Waktu biasa, nak seberang guna feri dan pada musim tengkujuh pula guna bot.
“Kalau siap jambatan ini, tak perlu lagi kami redah sungai ini,” katanya.
Projek jambatan baharu itu bermula pada tahun 2021 dengan kos kira-kira RM30 juta dan dijangka memberi manfaat kepada penduduk di beberapa kampung termasuk Kampung Pasir Kelang Lama, Pasir Kelang Baru, Sungai Taku, Taku Estet serta Buyung Darul Hijrah.
Mereka menggunakan bot dan feri sebagai pengangkutan utama untuk ke tanah besar.
Meskipun terdapat jalan darat, namun agak jauh dan mengambil masa hampir dua jam sekiranya mahu ke bandar Kuala Krai memandangkan laluan itu perlu melalui Tanah Merah terlebih dahulu, berbanding menggunakan feri hanya beberapa minit sahaja.
Ringkasan AI
- Jambatan sementara di Kuala Krai dihanyut arus deras Sungai Kelantan disebabkan hujan lebat
- Arus sungai turut meruntuhkan tebing dan menyebabkan sebuah surau senget hampir terjunam ke sungai
- Jambatan besi sepanjang 100 meter itu merupakan kali kedua dihanyut arus selepas kejadian tahun lepas
- Penduduk menggunakan bot atau feri sebagai pengangkutan utama sementara menantikan pembinaan jambatan baharu
- Projek jambatan baharu bermula pada tahun 2021 dengan kos RM30 juta untuk manfaat penduduk di beberapa kampung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

