Anggota polis hilang dihanyutkan arus deras ditemukan lemas

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota polis yang dilaporkan hilang selepas kereta dipandunya terperangkap dalam banjir berhampiran Klinik Desa Giching ditemukan lemas pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 7.30 pagi selepas operasi pencarian diperluas sehingga lima kilometer dari lokasi insiden.
“Anggota melaksanakan pencarian mengikut sektor merangkumi kawasan kampung, kebun kelapa sawit dan selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Mangsa akhirnya dikesan sekitar 50 meter dari lokasi terakhir dilaporkan hilang sebelum dibawa keluar oleh pasukan PPDA KLIA dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan 14 anggota JBPM bersama dua jentera, selain bantuan 25 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Difahamkan, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman memaklumkan satu kenyataan media berhubung penemuan mayat mangsa akan dikeluarkan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mangsa, Konstabel Muhammad Rahami Amirudin, 23, dipercayai lemas selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit berhampiran Klinik Desa Giching dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Jumaat lalu.
Mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerja selepas melawat keluarganya di kampung berkenaan sebelum insiden berlaku
Ringkasan AI
- Anggota polis hilang selepas kereta terperangkap dalam banjir ditemukan lemas
- Mayat mangsa ditemukan kira-kira 7.30 pagi oleh pasukan penyelamat
- Operasi pencarian meliputi kawasan kampung dan kebun kelapa sawit
- Operasi melibatkan 14 anggota JBPM, 25 anggota PDRM, dan empat anggota APM
- Mangsa bernama Konstabel Muhammad Rahami Amirudin, berusia 23 tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

