Kurang 500 rakyat Malaysia masih terkandas di Hatyai - Tok Mat

KUALA LUMPUR – Dianggarkan kurang daripada 500 rakyat Malaysia masih terkandas di Hatyai, Thailand susulan banjir besar yang melanda pusat pelancongan tumpuan ramai itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seramai 177 lagi rakyat Malaysia telah diselamatkan pagi Khamis dan operasi menyelamat terus disambung.
"Lebih 700 orang berjaya dipindahkan dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam, termasuk mereka yang sudah berada di pusat (pemindahan) mangsa banjir sementara.
"Sehingga semalam, Jabatan Imigresen merekodkan seramai 2,204 rakyat Malaysia yang menyeberangi sempadan di Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Wang Kelian," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat di sini.
Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai usaha segera kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Selatan Thailand susulan banjir yang berlaku, selain langkah pencegahan bagi memastikan rakyat Malaysia lain tidak menghadapi situasi yang sama.
Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan, kerajaan sememangnya mahu menyelamatkan semua rakyat Malaysia yang masih terperangkap.
Menurutnya, keadaan cuaca yang mula menunjukkan tanda pemulihan sejak semalam membolehkan pasukan pihak berkuasa Thailand dan petugas sukarelawan menggerakkan bot ke kawasan itu selepas arus sungai yang sebelum ini terlalu deras kini semakin surut.
“Alhamdulillah, semalam dan pagi ini hujan mulai reda. Kita menghantar beberapa bot bantuan daripada pihak berkuasa Thailand untuk menyelamatkan ramai rakyat Malaysia yang di tiga hotel di kawasan bandar Hatyai lama termasuk pelajar dan juga pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terperangkap di situ sudah beberapa hari.
“Pasukan penyelamat sebelum ini tidak boleh pergi ke sana walaupun menaiki bot kerana arus terlalu deras ekoran hotel-hotel ini berdekatan dengan sungai,” ujarnya.
Mohamad turut menjelaskan, kerajaan terpaksa menggunakan lori kontena bagi membawa keluar mangsa banjir kerana laluan dari kawasan Sadao ke Bukit Kayu Hitam tidak boleh dilalui kenderaan kecil atau bas.
“Semalam kita telah menghantar balik ramai rakyat Malaysia tapi maaf saya nak bagitahu yang kita terpaksa gunakan lori kontena (sebagai kenderaan pengangkutan).
“Mangsa-mangsa banjir ini duduk ramai-ramai dalam kontena dan kita bawa mereka sampai ke Bukit Kayu Hitam. Ini kerana daripada Sadao (ke Bukit Kayu Hitam) belum boleh dilalui oleh kenderaan-kenderaan ringan,” kata beliau.
Mohamad memaklumkan, operasi menyelamat bukan hanya memfokuskan rakyat Malaysia tetapi kerajaan turut membantu rakyat tempatan Thailand dan rakyat asing lain yang terperangkap termasuk dari Brunei, Singapura dan Indonesia.
Dalam pada itu, Mohamad menegaskan kerajaan telah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia agar menangguhkan perancangan bercuti ke kawasan yang lazim dilanda banjir pada hujung tahun.
Katanya, keadaan cuaca semasa berisiko tinggi berikutan Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga hujung Disember berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Walaupun hotel sudah ditempah, elok ditangguhkan dahulu. Kita tidak mahu rakyat Malaysia terperangkap dalam situasi sebegini,” nasihatnya.
Ringkasan AI
- Kurang daripada 500 rakyat Malaysia masih terkandas di Hatyai, Thailand akibat banjir besar
- Lebih 700 orang telah dipindahkan dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam
- Seramai 2,204 rakyat Malaysia telah menyeberangi sempadan di Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Wang Kelian
- Pasukan penyelamat menggunakan bot dan lori kontena untuk membantu mangsa banjir
- Kerajaan Malaysia mengeluarkan nasihat perjalanan agar menangguhkan perancangan bercuti ke kawasan berisiko banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

