36 pelajar, dua pensyarah UUM terkandas banjir di Hatyai tiba di tanah air

BUKIT KAYU HITAM - Sebanyak 36 pelajar dan dua pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas banjir di Hatyai, Thailand tiba di tanah air jam 6.20 petang pada Khamis.
Kesemua mereka yang terkandas di Hotel Wangburapa Grand sebelum itu, berjaya dibawa keluar dari penginapan mereka pada 1 tengah hari tadi (waktu tempatan), menuju ke Central Hatyai.
Mereka kemudiannya menaiki bas Prince of Songkhla University (PSU) dan bergerak menuju ke Bukit Kayu Hitam dan ketibaan mereka disambut puluhan warga UUM di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM merangkap yang menjalankan fungsi Naib Canselor Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, operasi membawa pulang kesemua mereka, bukanlah semudah yang disangka.
"Operasi menyelamat pelajar-pelajar kita memang susah, memang sukar, operasi menyelamat ini mengambil masa beberapa hari, setiap kali percubaan nak masuk apabila sampai terpaksa berpatah balik.
"Hotel Wangburapa Grand sangat berdekatan dengan sungai menyebabkan arus air terlalu deras, selain ketinggian paras air mencecah 10 kaki,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Ahmad Martadha berkata, operasi menyelamat kesemua pelajar dan pensyarah terbabit sebentar tadi, diketuai Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.
Beliau berkata, pihak UUM turut merakamkan penghargaan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla yang telah bertungkus lumus sebelum ini untuk membantu pelajar dan pensyarah yang terlibat.
Ahmad Martadha berkata, UUM juga tidak pernah lekang untuk menghubungi pihak berkaitan, termasuk badan bukan kerajaan untuk membantu warga universiti itu yang terkandas.
"Alhamdulillah banyak rakyat Thailand yang telah memberikan bantuan makanan dan minuman kepada pelajar-pelajar kita, kita bersyukur… banyak NGO di Hatyai yang ingin membantu tetapi kekangan pada waktu itu mereka tidak boleh masuk,” katanya.
Beliau berkata, kesemua pelajar dan pensyarah tersebut ketika ini dalam keadaan keletihan, disebabkan kekurangan makanan atau makan makanan yang kurang berzat, namun dari segi kesihatan mereka semua dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, Ahmad Martadha berkata, mereka akan dibawa ke Pusat Kesihatan UUM menjalani pemeriksaan menyeluruh, untuk memastikan tahap kesihatan mereka dalam keadaan baik.
Beliau berkata, dua lagi pensyarah yang masih terkandas di sebuah hotel berasingan, dijangka dibawa pulang malam ini.
Kesemua 40 pelajar dan pensyarah terbabit berada di Hat Yai bagi mengikuti Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Nov, namun terkandas akibat banjir di sana. - Bernama
Ringkasan AI
- 36 pelajar dan dua pensyarah UUM terkandas banjir di Hat Yai tiba di Malaysia
- Berjaya dibawa keluar dari Hotel Wangburapa Grand menuju ke Central Hat Yai
- Dibawa pulang dengan bas ke Bukit Kayu Hitam dan disambut di ICQS
- Operasi menyelamat ini diketuai Duta Besar Malaysia ke Thailand
- Kesemua terlibat berada di Hat Yai untuk program pertukaran budaya Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
