'Nak seberang, kalau nampak balak kena tunggu dulu'

Bot dipandu melintangi arus Sungai Kelantan. Gambar kecil dari kiri (Mohd Asrol, Mohamad Zaim, Saiful) - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Bot dipandu melintangi arus Sungai Kelantan. Gambar kecil dari kiri (Mohd Asrol, Mohamad Zaim, Saiful) - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KUALA KRAI – Musim tengkujuh memaksa lebih 1,000 penduduk di lima kampung di Pasir Kelang di sini bergadai nyawa menyeberangi Sungai Kelantan menggunakan bot fiber dalam keadaan arus deras dan balak hanyut selepas operasi feri tidak dapat dijalankan sejak Selasa lalu.

Perkhidmatan bot Koperasi Pasir Kelang Berhad itu dikendalikan oleh pemandu muda berpengalaman, Mohd Asrol Aqif Jazlan, 25, berkata, keadaan arus sungai berubah sehingga feri tidak lagi mampu mendarat berikutan tebing tenggelam apabila paras air meningkat hingga 50 meter di atas daratan.

“Arus sungai sangat kuat sekarang, ditambah dengan kayu serta balak yang banyak hanyut.

“Nak seberang, kalau nampak balak, kena tunggu dulu sebelum menyeberang. Tak boleh silap, tak kena cara memang bahaya,” katanya ketika ditemui di Jeti Pasir Era di sini pada Sabtu.

Mohd Asrol bersama tiga rakan sekerja mengendalikan bot enjin 60hp sepanjang 23 meter dan melakukan sehingga 100 perjalanan melintasi arus setiap hari antara jam 7 pagi hingga 7 petang bagi memenuhi keperluan penduduk dari Kampung Pasir Kelang Lama, Pasir Kelang Baru, Sungai Taku, Taku Estet dan Buyung Darul Hijrah.

“Ini memang pengangkutan utama mereka, tapi ketika ini hanya yang ada urusan penting saja menyeberang seperti perlu bekerja atau keluar mendapatkan keperluan makanan asas.

“Jika calon Sijil Pelajaran Malaysia yang sedang menjalani peperiksaan, mereka telah berpindah tinggal di asrama lebih awal minggu lalu,” katanya.

Keadaan itu turut memberi cabaran kepada penduduk yang bergantung kepada feri untuk bekerja dan berulang-alik ke bandar.

Pembantu jurupulih, Mohamad Zaim Mat Zaid, 25, berkata, kebiasaannya dia pulang ke Pasir Kelang dengan membawa kereta menyeberangi sungai menggunakan feri dengan tambang RM5, tetapi tidak pada musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

“Saya terpaksa cuti dua hari kerana banjir di kawasan rumah di Pasir Kelang Baru setinggi 0.5 meter dan hari ini baru keluar nak ke tempat kerja di bandar Kuala Krai.

“Kelmarin saya pandu kereta lalu jalan berselut di Sokor, Gual Ipoh, Tanah Merah untuk bawa kereta dan letak di Jeti Pasir Era. Hari ini, seberang guna bot untuk ke kereta,” katanya.

Seorang lagi mekanik, Saiful Baharuddin, 40, berkata bengkelnya di Pasir Kelang Lama terpaksa ditutup semalam kerana tidak dapat menyeberangi sungai akibat arus deras.

“Saya dari Bukit Sireh baru dapat seberang hari ini.

“Kalau kebiasaannya, saya bawa motosikal naik feri. Sekarang kena naik bot sebab feri tak beroperasi,” katanya.

Menurut Saiful, keadaan tersebut dijangka berlarutan sehingga musim Monsun Timur Laut (MTL) berakhir pada Mac tahun depan.

“Tak ada pilihan, tapi kami tetap utamakan keselamatan seperti pakai jaket keselamatan dan tidak menyeberang jika arus terlalu deras,” katanya.

Ringkasan AI

  • Musim tengkujuh memaksa penduduk menggunakan bot fiber untuk menyeberangi Sungai Kelantan kerana operasi feri terhenti
  • Mohd Asrol dan tiga rakan mengendalikan bot melakukan sehingga 100 perjalanan sehari untuk penduduk lima kampung
  • Pengangkutan ini penting terutamanya untuk mereka yang memiliki urusan penting seperti bekerja atau mendapatkan keperluan makanan
  • Banjir menyebabkan pembantu jurupulih dan mekanik tidak dapat menyeberangi sungai ke tempat kerja mereka
  • Keadaan ini dijangka berlarutan sehingga akhir musim Monsun Timur Laut pada Mac tahun depan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!