Pantai Bisikan Bayu, Pachakan mungkin hanya tinggal nama

A
A
A

PASIR PUTEH - Pantai Bisikan Bayu dan Pachakan di sini mungkin hanya tinggal nama sahaja ekoran hakisan teruk yang berlaku setiap kali Monsun Timur Laut (MTL)

Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat menyaksikan deretan gerai, rumah serta pokok kelapa dan rhu tumbang menyembah bumi dihempas ombak kuat dan air pasang yang berlaku sejak Selasa lalu.

Pantai Bisikan Bayu dan Pachakan, Pasir Puteh mungkin hanya tinggal nama sahaja ekoran hakisan teruk yang berlaku setiap kali MTL.
Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Pantai Bisikan Bayu dan Pachakan, Pasir Puteh mungkin hanya tinggal nama sahaja ekoran hakisan teruk yang berlaku setiap kali MTL. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Penduduk di Pantai Pachakan di sini, Shamsul Shafei, 39, berkata, hakisan yang berlaku tahun ini adalah paling teruk berlaku dalam tempoh 30 tahun.

"Beberapa buah rumah telah ditelan laut, kedai pemprosesan keropok banyak roboh, hanya tinggal sekitar lima buah yang masih bertahan.

"Kami bimbang jika tiada tindakan segera yang diambil untuk menangani masalah hakisan di sini, Pantai Pachakan dan Bisikan Bayu mungkin hanya tinggal nama sahaja, selebihnya bersemadi di dalam laut," katanya.

Shamsul menunjukkan kedai pemprosesan keropok berjarak beberapa meter sahaja dari pantai serta menunggu masa dibadai ombak setiap kali musim tengkujuh.
Shamsul menunjukkan kedai pemprosesan keropok berjarak beberapa meter sahaja dari pantai serta menunggu masa dibadai ombak setiap kali musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

Menurut dia lagi, mereka tidak mahu pantai di sini bernasib malang seperti Pantai Sabak di Kota Bharu yang hanya tinggal nama.

Ujarnya, semasa diusia kanak-kanak dan remaja jarak pantai ke penempatan penduduk lebih satu kilometer, sekarang ini hanya berjarak beberapa meter sahaja serta menunggu masa dibadai ombak setiap kali musim tengkujuh.

Shamsul menunjukkan kedai pemprosesan keropok berjarak beberapa meter sahaja dari pantai serta menunggu masa dibadai ombak setiap kali musim tengkujuh.
Shamsul menunjukkan kedai pemprosesan keropok berjarak beberapa meter sahaja dari pantai serta menunggu masa dibadai ombak setiap kali musim tengkujuh.

Bagi penduduk di Pantai Bisikan Bayu, Muhammad Luqman Mohd Noor, 31, memberitahu, rumah yang didiami hampir sedekad itu telah pun runtuh pada Rabu dan mereka kini sedang menumpang rumah keluarga serta dalam usaha mendapatkan rumah sewa.

"Masalah hakisan ini sudah berlaku beberapa tahun lalu. Setiap tahun ia semakin teruk sehinggalah ada rumah penduduk yang telah rosak, roboh dan lenyap ke dalam laut.

"Kami berharap pihak yang berkenaan agar mengambil tindakan secepat mungkin. Kerana Pantai Bisikan Bayu merupakan antara lokasi yang dikunjungi ramai untuk berkelah, memancing dan sumber pendapatan penduduk di sini," katanya.

Hakisan telah menyebabkan pantai hanya berada tidak sampai 10 meter dari gerai jualan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh yang sebelum ini lebih 100 meter
Hakisan telah menyebabkan pantai hanya berada tidak sampai 10 meter dari gerai jualan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh yang sebelum ini lebih 100 meter

Peniaga di Pantai Bisikan Bayu, Kamran Awang Noh, 56, berkata, gerai jualan jagung dan satar kini menunggu masa untuk rebah menyembah bumi.

Ujar dia, hakisan telah menyebabkan pantai hanya berada tidak sampai 10 meter dari gerainya itu yang sebelum ini lebih 100 meter.

"Tahun ini air pasang paling teruk, biasanya awal musim tengkujuh biasa sahaja. Tunggu hujung tengkujuh baharu teruk.

"Kami bimbang melihat keadaan cuaca sekarang, tidak mustahil kemungkinan esok atau lusa jika ombak besar gerai ini akan hilang," katanya.

Mohd Nassuruddin (dua dari kiri) semasa melakukan tinjauan di kawasan terjejas akibat hakisan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh pada Rabu lalu.
Mohd Nassuruddin (dua dari kiri) semasa melakukan tinjauan di kawasan terjejas akibat hakisan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh pada Rabu lalu.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam satu hantaran di Facebooknya memberitahu beliau dan Ketua Jajahan Pasir Puteh telah melakukan tinjauan di kawasan terjejas akibat hakisan.

Menurutnya, hentaman ombak musim tengkujuh telah menyebabkan beberapa kemudahan kiosk runtuh dan rosak teruk.

"Saya telah mengarahkan Ketua Jajahan untuk mengemukakan permohonan kerja-kerja pencegahan hakisan pantai bagi tindakan segera.

"Insya-ALLAH kerajaan negeri akan berusaha secepat mungkin untuk mengawal dan mencegah hakisan daripada menjadi lebih parah.

"Semoga segala urusan dipermudahkan dan keadaan kembali pulih seperti sediakala," katanya.

Ringkasan AI

  • Pantai Bisikan Bayu dan Pachakan di Pasir Puteh terjejas teruk akibat hakisan disebabkan oleh Monsun Timur Laut
  • Hakisan tahun ini adalah yang terburuk dalam tempoh 30 tahun mengakibatkan rumah dan kedai pemprosesan keropok roboh
  • Penduduk bimbang pantai hanya tinggal nama jika tiada tindakan segera diambil untuk menangani masalah hakisan
  • Masalah hakisan semakin teruk setiap tahun sehingga ada rumah penduduk yang rosak, roboh dan lenyap ke dalam laut
  • Menteri Besar Kelantan mengarahkan tindakan segera untuk pencegahan hakisan pantai dan berusaha mengawal situasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!