[VIDEO] Benteng pantai pecah: Kampung Sungai Berong Laut dilanda banjir lima hari berturut

BATU PAHAT – Sudah memasuki hari kelima, penduduk Kampung Berong Laut, Rengit di sini terpaksa berlindung di pusat transit sementara selepas kawasan itu terus dilanda banjir susulan benteng penahan ombak yang pecah sejak lima hari lalu.
Keadaan bertambah buruk apabila hujan hampir setiap hari sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) bertembung dengan fenomena air pasang sekali gus meningkatkan kebimbangan penduduk kerana rumah mereka terletak kira-kira 700 meter dari pantai.
Penduduk, Norsidah Abu, 52, berkata, banjir yang melanda menyebabkan peralatan rumahnya rosak dan terpaksa membersihkan lumpur setiap kali air surut.
“Sekitar jam 11 pagi, air pasang berlaku dan menyebabkan banjir. Air hanya surut menjelang Maghrib. Sebagai langkah berjaga-jaga, penduduk berpindah ke pusat transit sementara di Dewan Terbuka Surau Punggur Laut Timur.
“Setiap hari kami perlu bersihkan rumah. Keadaan lebih teruk selepas benteng pantai pecah. Dahulu air pasang hanya naik di halaman tapi kini sudah masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Norsidah berkata, bagi mengelakkan perabot dan peralatan elektrik rosak teruk, semua barangan diletakkan di tempat tinggi dan dialas batu bata.
Dia berharap kerja-kerja membaiki benteng dapat dipercepatkan selain mencadangkan pembinaan benteng yang lebih kukuh.
“Saya boleh katakan setiap bulan atau dua minggu sekali pasti berlaku banjir air laut. Benteng penahan ombak sering pecah dan ini sudah kali kelapan dalam tempoh lima bulan.
“Kalau air tak masuk, kami tidur di rumah. Kalau dah masuk terpaksa pindah ke pusat transit sementara,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun terdapat usaha membaiki benteng yang rosak, ia tetap pecah kerana hujan lebat dan ombak kuat ketika MTL.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi melawat 25 mangsa daripada sembilan keluarga yang ditempatkan di pusat transit sementara berkenaan dan beberapa bantuan awal telah disalurkan kepada mangsa.
Ringkasan AI
- Penduduk Kampung Berong Laut, Rengit berlindung di pusat transit selepas banjir akibat benteng penahan ombak pecah
- Hujan bersama fenomena air pasang semasa Monsun Timur Laut meningkatkan keadaan buruk
- Penduduk mengalami kerosakan peralatan rumah dan perlu membersihkan lumpur setelah air surut
- Norsidah Abu menyatakan banjir rutin menyebabkan mereka perlu mengungsi sementara dan mengharapkan pembaikan benteng
- Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi melawat mangsa banjir di pusat transit sementara dan memberikan bantuan awal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

