RM1 juta diperlukan tambak hakisan pantai Teluk Batik

Keadaan pantai Teluk Batik selepas kejadian hakisan yang berlaku. Foto JPS Perak.
Keadaan pantai Teluk Batik selepas kejadian hakisan yang berlaku. Foto JPS Perak.
A
A
A

IPOH – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menganggarkan kos sebanyak RM1 juta diperlukan bagi melaksanakan kerja-kerja penambakan pasir di Pantai Teluk Batik untuk memulihkan kawasan yang mengalami hakisan teruk susulan ribut dan gelora laut pada 23 hingga 25 November lalu.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerja penambakan pasir itu perlu dilaksanakan segera bagi mengembalikan struktur asal pantai.

Menurutnya, tindakan itu juga penting untuk memastikan keselamatan pengunjung serta mengekalkan daya tarikan pelancongan di kawasan peranginan popular tersebut.

“Pantai Teluk Batik antara destinasi utama di daerah Manjung rosak teruk selepas ombak besar menghentam kawasan pantai sehingga menyebabkan kira-kira 200 meter garis pantai mengundur, selain menjejaskan pokok-pokok serta kemudahan berhampiran.

“Kejadian hakisan berpunca daripada gabungan perubahan pasang surut luar biasa dan fenomena pusaran angin tekanan rendah atau voltex yang berlaku ketika Monsun Timur Laut sedang aktif,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohammad Nizar berkata, selain penambakan pasir, pembinaan pemecah ombak juga boleh dipertimbangkan, namun memerlukan kajian lebih mendalam termasuk dari segi kos dan kesesuaian jarak pemasangan.

Menurutnya, pemuliharaan pantai itu perlu dilaksanakan segera agar Teluk Batik kembali berfungsi sebagai destinasi riadah utama rakyat negeri dan pelancong.

“Pantai Teluk Batik adalah aset pelancongan penting negeri dan perlu dipulihkan segera.

“Kerja-kerja kawalan hakisan ini adalah keutamaan bagi memastikan kawasan pantai kembali stabil dan selamat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, data Kajian Pelan Pengurusan Pesisiran Pantai Bersepadu (ISMP) 2023 sebelum ini mengelaskan kebanyakan pantai di Manjung sebagai berada dalam Kategori 3, iaitu hakisan minimum.

Namun katanya, kejadian terbaharu itu menyebabkan Teluk Batik dan Teluk Senangin mengalami peningkatan kepada Kategori 2, iaitu pengunduran pantai melebihi satu meter setahun.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah menutup kawasan itu kepada orang awam sebagai langkah keselamatan selepas video dan gambar kerosakan pantai tular di media sosial.

Ringkasan AI

  • JPS anggarkan RM1 juta untuk kerja penambakan pasir di Pantai Teluk Batik bagi pemulihan kawasan terjejas akibat hakisan
  • Kerja penambakan pasir perlu dilaksanakan segera untuk mengembalikan struktur asal pantai dan memastikan keselamatan pengunjung
  • Pantai Teluk Batik mengalami kerosakan teruk selepas dihentam ombak besar, menyebabkan garis pantai mengundur sekitar 200 meter
  • Selain penambakan pasir, pembinaan pemecah ombak boleh dipertimbangkan namun memerlukan kajian mendalam
  • Kejadian hakisan pantai di Teluk Batik meningkatkan status ke Kategori 2 dalam ISMP 2023, yang bermaksud pengunduran pantai melebihi satu meter setahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!