FAM juga boleh saman tujuh pemain warisan

Pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan hukuman akibat pemalsuan dokumen sebelum ini dilaporkan mahu menyaman FAM. - Gambar kecil (Nik Erman)
Pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan hukuman akibat pemalsuan dokumen sebelum ini dilaporkan mahu menyaman FAM. - Gambar kecil (Nik Erman)
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sebenarnya mempunyai asas untuk mengemukakan saman terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Pandangan tersebut disuarakan oleh peguam komersial dan sukan, Nik Erman Nik Roseli yang menyifatkan pemain-pemain terbabit telah menggambarkan diri mereka sebagai individu yang mempunyai darah keturunan Malaysia bagi mendapatkan kerakyatan, namun sebaliknya mereka tidak layak.

"Berdasarkan fakta di dalam 'Motivated Decision' dikeluarkan FIFA , pemain-pemain telah memberi keterangan bahawa mereka telah menyerahkan semua proses naturalisasi kepada ejen atau wakil FAM (yang tidak diketahui atau dinamakan).

"Apa-apa pemalsuan telah dilakukan oleh orang dalaman FAM. Jadi, persoalan samada pemain-pemain boleh menyaman (FAM), jawapannya ya tetapi adakah mereka boleh berjaya, jawapannya tidak.

"Ini kerana saya berpendapat bahawa pemain-pemain bukan pihak yang tidak bersalah. Menurut 'Motivated Decision', pemain-pemain tidak membaca, tidak faham dan tidak kisah mengenai proses naturalisasi.

"Malah, pemain-pemain tidak peduli pun selepas mengetahui mereka dihukum 12 bulan. Pemain-pemain tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.

"Jika saya bagi pihak FAM, FAM yang patut menyaman tujuh pemain-pemain tersebut. Ini kerana pemain-pemain telah merepresentasikan diri mereka sebagai mempunyai darah orang Malaysia dan layak menerima kerakyatan Malaysia walaupun mereka tidak layak," katanya kepada Sukan Sinar.

Mengulas lanjut, Nik Erman menegaskan bahawa tindakan undang-undang juga wajar diambil terhadap ejen atau wakil FAM yang bertindak sebagai ‘orang tengah’ dalam urusan tersebut.

Beliau merujuk kepada fakta di dalam 'Motivated Decision' apabila pemain-pemain terbabit memberi keterangan bahawa segala proses naturalisasi telah diserahkan sepenuhnya kepada wakil FAM yang tidak dinamakan.

Artikel Berkaitan:

"Apa-apa pemalsuan telah dilakukan oleh orang dalaman FAM. Ini dalang sebenar.

"Pemain-pemain dan FAM boleh menyaman ejen atau wakil FAM yang telah menguruskan proses dan permohonan naturalisasi ini.

"Walaupun saya rasa kedua-dua pemain dan FAM gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing, pengantara ini perlu disaman atas peranannya," ujarnya.

Sebelum ini, terdapat laporan media yang melaporkan bahawa ketujuh-tujuh pemain tersebut berkemungkinan akan mengambil tindakan saman terhadap FAM susulan isu pemalsuan dokumen itu.

Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang menjatuhkan penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang dan CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FAM.

Tujuh pemain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garcas, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Iraurgui dan Hector Hevel di atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

FAM ketika ini sedang dalam proses untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Ringkasan AI

  • Persatuan Bolasepak Malaysia mempunyai asas untuk saman tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikatakan tidak layak menerima kerakyatan
  • Pemain-pemain tersebut memberi keterangan proses naturalisasi diserahkan kepada wakil FAM yang tidak dinamakan dan dilakukan dengan pemalsuan
  • Pemain-pemain dianggap tidak bersalah kerana mereka tidak membaca atau faham proses naturalisasi
  • Tindakan undang-undang juga wajar diambil terhadap ejen atau wakil FAM yang bertindak sebagai 'orang tengah' dalam urusan pemalsuan
  • Tujuh pemain tersebut dihukum 12 bulan penggantungan dan denda oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!