Ada 'individu berpengaruh' di sebalik skandal pemalsuan dokumen 7 pemain warisan - Tun M

Dr Mahathir ketika podcast 'Top News' terbitan Sinar Daily pada Khamis. Foto Sinar Harian
Dr Mahathir ketika podcast 'Top News' terbitan Sinar Daily pada Khamis. Foto Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa terdapat 'individu berpengaruh' di sebalik skandal pemalsuan dokumen pemain import skuad Harimau Malaya yang 'dilondehkan' Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.

Kontroversi itu timbul selepas pihak berkuasa bola sepak Vietnam meragui asal usul tujuh pemain import dalam skuad kebangsaan.

Menerusi podcast 'Top News' terbitan Sinar Daily pada Khamis, Dr Mahathir meluahkan rasa malu terhadap insiden yang menyaksikan tujuh pemain import dinaturalisasikan dalam keadaan meragukan untuk mewakili pasukan kebangsaan.

Beliau menambah, menipu sehingga timbul dakwaan pemalsuan dokumen di pentas sukan antarabangsa itu menunjukkan wujudnya penglibatan individu yang sangat berpengaruh.

Menyelami punca sebenar masalah itu, negarawan veteran berkenaan menyifatkan wujud sistem keadilan terpilih yang mana pengaruh ditentukan oleh akauntabiliti.

"Individu yang 'tidak melakukan sebarang kesalahan boleh disiasat, tapi mereka yang benar-benar bersalah pula dikecualikan'. Ini dimaksudkan corak penguatkuasaan undang-undang secara terpilih.

"Jadi, ada seseorang yang begitu berkuasa sehingga boleh melakukan kesalahan dan terlepas begitu sahaja, itulah yang dibangkitkan oleh pihak Vietnam.

“Tempat lahir sebenar (pemain) di Argentina, tetapi tulis di Pulau Pinang. ‘Mereka dilahirkan di Pulau Pinang’ ini jelas satu pembohongan,” katanya sambil menegaskan perkara itu 'cubaan sengaja untuk menipu' di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, FIFA mengemukakan bukti berhubung penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan rasmi ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, badan induk itu menjelaskan wujud percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal yang diperoleh FIFA dengan dokumen dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyokong kelayakan pemain-pemain terbabit.

Antara kes yang menjadi tumpuan ialah pemain tengah kelahiran Belanda, Hector Hevel apabila salinan dokumen FAM mendakwa datuknya lahir di Melaka, namun sijil asal menunjukkan tempat lahir sebenar di The Hague, Belanda.

Kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi itu menyaksikan FAM dikenakan denda RM1.8 juta, manakala setiap pemain terbabit didenda RM11,000 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Laporan FIFA turut memetik kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan pihak berkuasa Malaysia tidak pernah menerima sijil kelahiran asal untuk mengesahkan salasilah tujuh pemain berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara.

Terbaharu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permohonan tujuh pemain daripada FAM untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui jalur naturalisasi.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia termasuk dalam senarai 23 pemain yang pernah diluluskan sepanjang perkhidmatannya.

Menurutnya, keputusan dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu permohonan untuk menjadi warganegara yang datang daripada kerakyatan asing.

Dr Mahathir menambah, apabila insiden penipuan itu mendapat perhatian organisasi antarabangsa, ini bermakna bukan calang-calang individu yang berselindung di sebalik skandal tersebut meskipun sehingga kini tidak dapat dipastikan dalangnya.

Ditanya mengenai kemungkinan sama ada kes berkenaan dianggap satu bentuk sabotaj terhadap Malaysia, bekas ahli Parlimen Langkawi itu menyanggah tanggapan sedemikian.

“Tidak, ini bukan sabotaj terhadap Malaysia. Ia dilakukan oleh seseorang yang merasakan dirinya boleh terlepas walaupun melakukan kesalahan kerana dia berada di atas undang-undang.

"Tetapi, memang memalukan apabila pemain import mewakili Malaysia mencetuskan kontroversi di peringkat global.

"Kalau kita mahu menang pilihan raya atau perlawanan bola sepak, biarlah dibuat dengan cara yang betul. Jangan menipu dan mereka-reka cerita," jelas beliau.

Ringkasan AI

  • Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa terdapat individu berpengaruh di sebalik skandal pemalsuan dokumen pemain import skuad Harimau Malaya
  • Kontroversi timbul selepas pihak berkuasa bola sepak Vietnam meragui asal usul tujuh pemain import
  • Dr Mahathir meluahkan rasa malu terhadap insiden penaturalisasian tujuh pemain import dalam keadaan meragukan
  • FIFA mendenda FAM RM1.8 juta dan setiap pemain terbabit RM11,000 serta digantung 12 bulan dari aktiviti bola sepak
  • Kementerian Dalam Negeri meluluskan permohonan tujuh pemain untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui jalur naturalisasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!