Harimau Malaya buru pemain warisan muda

PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski mendedahkan pihaknya sedang meneliti potensi beberapa pemain muda berdarah warisan yang beraksi di luar negara untuk diserapkan ke dalam skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.
Menurut Cklamovski, pihaknya ketika ini sedang melalui proses penilaian menyeluruh terhadap pemain-pemain terbabit yang mempunyai pertalian dengan Malaysia.
“Saya fikir ini sebahagian daripada proses yang telah kami kenal pasti termasuk beberapa pemain muda.
"Ada proses tertentu yang perlu dilalui oleh pemain-pemain ini, namun kami telah mengenal pasti ramai pemain daripada pelbagai kumpulan umur. Masa akan tentukan (tunggu pengumuman),” katanya dalam sesi bersama media pada Rabu.
Mengulas sama ada pemain-pemain tersebut sempat didaftarkan bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 yang dijadual berlangsung pada September ini, Cklamovski tidak memberikan jawapan pasti sambil menyatakan keputusan akhir bergantung kepada pelbagai faktor luar kawalannya.
“Saya tidak pasti. Ia di luar bidang kuasa saya untuk menjawab buat masa ini,” katanya.
Skuad muda negara sebelum ini menerima kritikan susulan kegagalan melangkah ke separuh akhir saingan Piala AFF B-23 selepas hanya menamatkan peringkat kumpulan di tempat ketiga di belakang Indonesia dan Filipina.
Kegagalan itu sekali gus mencetuskan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan mengenai keperluan untuk skuad muda negara turut mendapatkan khidmat pemain berdarah warisan seperti yang dilakukan oleh skuad senior.
Untuk rekod, skuad kendalian Nafuzi Zain bakal mengharungi laluan sukar dalam Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 yang turut menampilkan tuan rumah Thailand, Lubnan dan Mongolia.
Dalam perkembangan sama, Cklamovski menegaskan bahawa anak-anak muda negara perlu memanfaatkan pengalaman daripada kejohanan AFF lalu sebagai pengajaran untuk bangkit lebih kuat dalam saingan kelayakan.
“Mereka harus belajar daripada kegagalan yang lalu dan gunakan ia sebagai motivasi. Piala Asia B-23 di Arab Saudi tahun depan adalah pentas penting, dan sasaran kita jelas, iaitu layak ke sana,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
