Harimau Malaya silap percaturan?

TINDAKAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik diri daripada kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 boleh dianggap kurang profesional dan membuka ruang kepada pelbagai persepsi negatif terhadap revolusi Harimau Malaya.
Pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, tindakan FAM itu sudah pasti meninggalkan impak kurang baik dari sudut hubungan dua hala atau kerjasama dengan anggota CAFA selepas ini.

CAFA 2025 berlangsung dari 26 Ogos hingga 9 September depan dianggap peluang keemasan buat skuad kendalian Peter Cklamovski menguji kemampuan di pentas tertinggi apabila diundi bersama pasukan di ranking nombor dua Asia dan ke-20 dunia, Iran dalam kumpulan B selain Afghanistan (161) dan tuan rumah, Tajikstan (106).
Namun, harapan peminat untuk melihat Harimau Malaya beraksi di pentas CAFA 2025 musnah apabila FAM pada Rabu mengumumkan penarikan diri pada saat akhir daripada kejohanan tersebut.
“Mengapa sampai perlu tarik diri? Itukah sifat harimau jantan?
“Saya percaya keputusan ini dibuat dalam keadaan tertekan selepas pengurusan menyedari kesilapan sendiri dalam perancangan awal,” ujar Pekan.
Mengulas lanjut, Pekan percaya kesukaran untuk memanggil pemain warisan yang beraksi di luar negara menjadi punca utama Harimau Malaya menarik diri daripada kejohanan tersebut.
“Sepatutnya pengurusan Harimau Malaya memang sudah membuat perkiraan tentang time frame untuk mendapatkan pemain warisan di luar negara, sepatutnya asas pertimbangan ini sudah diambilkira sepenuhnya sebelum menerima jemputan daripada pihak penganjur,” katanya.
FAM sebelum ini menegaskan bahawa penarikan diri itu dibuat setelah mengambil kira perubahan tarikh CAFA 2025 berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan dua aksi pertama di peringkat kumpulan.
Namun, CAFA tampil dengan hujah tersendiri apabila menjelaskan penyertaan Malaysia sudah pun disahkan lebih awal, dengan pengetahuan penuh terhadap tarikh kejohanan dari 29 Ogos hingga 8 September 2025 selain memaklumkan jadual pertandingan tidak pernah berubah sejak awal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
