Banjir Hatyai: Sukarelawan Malaysia bantu keluarkan 1,500 mangsa

BUKIT KAYU HITAM - Misi kemanusiaan pasukan sukarelawan Malaysia yang menyertai operasi menyelamat mangsa banjir di Hatyai, Thailand berjaya membantu membawa keluar seramai 1,500 mangsa dari kawasan terjejas
Operasi selama lima hari itu diketuai Ketua Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani, Leong Beng Tat, dengan penyertaan sukarelawan dari Johor, Perak, Selangor serta beberapa pasukan dari negeri-negeri utara tanah air.
Menurut Beng Tat, misi yang bermula minggu lalu itu terpaksa ditamatkan pada jam 7 malam, Khamis selepas beberapa kawasan yang terjejas diisytiharkan sebagai zon berbahaya oleh pihak berkuasa Thailand.
“Masih ada segelintir rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas, tapi kami tidak dibenarkan masuk kerana faktor keselamatan.
"Justeru, sebarang permohonan bantuan selepas ini akan disalurkan kepada pihak tentera dan polis Thailand untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi media pada Jumaat.
Beliau berkata, semua anggota yang terlibat dalam misi tersebut bertindak atas dasar sukarela dan menanggung sendiri segala kos termasuk perbelanjaan perjalanan dan makanan.
Mereka turut meninggalkan keluarga dan komitmen kerja demi membantu rakyat Malaysia yang terkandas.
“Sepanjang operasi, ada anggota kami yang mengalami kecederaan ringan, tapi semangat mereka tidak pernah luntur. Kami bersyukur kerana dapat membantu menyelamatkan ramai pelancong Malaysia yang terperangkap akibat banjir,” ujarnya.
Beng Tat turut menyeru masyarakat agar terus menyokong usaha pasukan bomba sukarela yang sering tampil ke hadapan dalam situasi kecemasan, bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan lebih 6,000 rakyat Malaysia yang terperangkap akibat bencana banjir di Selatan Thailand telah selamat tiba di tanah air sejak operasi menyelamat digerakkan pada 23 November lalu.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, misi berkenaan dilaksanakan dengan sebahagian besar disumbangkan oleh hampir 20 badan sukarelawan Malaysia yang digerakkan dengan kerjasama Wisma Putra, termasuk 13 pasukan bomba sukarela, selain bantuan kerajaan Thailand.
Ringkasan AI
- Pasukan sukarelawan Malaysia berjaya menyelamatkan 1,500 mangsa banjir di Hatyai, Thailand
- Operasi penyelamatan diketuai oleh Ketua Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani, Leong Beng Tat
- Misi berakhir apabila kawasan terjejas diisytiharkan sebagai zon berbahaya oleh pihak berkuasa Thailand
- Anggota sukarelawan bertindak secara sukarela dan menanggung sendiri kos operasi
- Lebih 6,000 rakyat Malaysia yang terperangkap dalam banjir di Selatan Thailand telah selamat tiba di tanah air sejak 23 November
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

