AmBank perjelas video tular gelandangan disiram air dan disepak

Tangkap layar video tular lelaki dipercayai gelandangan disiram air oleh pengawal keselamatan dan disepak tukang kasut. Kredit video: Ihsan pengguna media sosial
Tangkap layar video tular lelaki dipercayai gelandangan disiram air oleh pengawal keselamatan dan disepak tukang kasut. Kredit video: Ihsan pengguna media sosial
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan AmBank tampil membuat penjelasan susulan tular video memaparkan seorang lelaki dipercayai gelandangan tiba-tiba disiram air dan disepak hanya kerana baring di kaki lima AmBank cawangan Taman Maluri.

AmBank dalam satu kenyataan berkata, pihaknya prihatin tentang insiden tersebut dan mengakui kesal dengan apa yang berlaku.

Menurutnya, individu yang menyiram air kepada gelandangan itu ialah pengawal keselamatan 'third-party' iaitu daripada syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan luar yang dilantik pihak bank.

"Bagaimanapun, kami meminta semua yang mewakili organisasi kami, termasuk vendor dan rakan kerjasama untuk mengekalkan tahap profesionalisme sepanjang masa.

"Tiada sesiapapun yang wajar dilayan sedemikian rupa. Keselamatan, maruah dan kesejahteraan semua yang berada di dalam mahupun di luar premis bank sentiasa menjadi keutamaan kami.

"Justeru, kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berkaitan dan komited untuk memastikan kejadian sebegini tidak berulang lagi. Terima kasih rakyat Malaysia di atas keprihatinan anda," kata AmBank pada Selasa.

Sebelum ini, tular video berdurasi 35 saat memaparkan seorang lelaki yang sedang baring di luar premis bank disiram air oleh pengawal keselamatan perempuan, kononnya untuk menghalau individu tersebut daripada tidur di situ.

Bukan itu sahaja, seorang lelaki pertengahan umur dipercayai tukang kasut yang bekerja di kawasan berhampiran tergamak menendang mangsa dan menyuruhnya beredar dari situ.

Perbuatan itu mengundang kecaman warga maya kerana majoriti beranggapan tiada siapa berhak dilayan sedemikian rupa.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Video seorang lelaki dianggap gelandangan disiram air dan disepak di kaki lima AmBank Taman Maluri tular
  • AmBank mengaku prihatin tentang insiden tersebut dan menyesalkannya
  • Pelaku adalah pengawal keselamatan dari syarikat perkhidmatan keselamatan luar yang dilantik oleh AmBank
  • AmBank meminta semua pihak mewakili mereka mengekalkan profesionalisme dan menjamin keselamatan semua pihak
  • AmBank berjanji memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan memastikan kejadian serupa tidak berulang lagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!